RAHIDAH ABAS
RAHIDAH ABAS
Yusliza Yakimir Abd Talib

LANGKAH diatur wanita ini dalam perniagaan bermula sekadar suka-suka malah tidak pernah terlintas di fikirannya dengan hanya menjadi ejen menjual kacang mampu mengubah 100 peratus kehidupannya.

Biarpun sekadar menjual kacang, kerjaya yang dianggap ‘kurang glamor’ itulah memberi sedikit kesenangan buat diri dan keluarga tercinta. Pada mulanya Rahidah Abas membeli lima balang kacang untuk dimakan sendiri, terdetik hatinya untuk memperkenalkan kepada rakan sekerja.

Katanya, tidak sangka pula ia mendapat sambutan dan dia mula mengambil tempahan dan mendaftar sebagai ejen empat tahun lalu.

Seminggu selepas itu, katanya, bermodalkan RM300 dia memberanikan diri menjadi stokis produk keluaran syarikat rangkaian makanan ringan, Wanys Snacks dan percaturannya mula membuahkan hasil.

“Bayangkan hasil jualan menjual makanan ringan saja saya dapat langsaikan ansuran kereta, menampung kos pengubahsuaian rumah baharu dan melancong ke luar negara.

“Semua impian saya menjadi nyata dengan hanya berniaga produk orang lain. Sebelum ini, saya bekerja sebagai pembantu tadbir di klinik swasta dengan pendapatan hanya cukup-cukup saja untuk membantu suami menambah perbelanjaan keluarga,” katanya.

Bagi wanita berusia 38 tahun ini, memulakan perniagaan dengan produk sendiri pastinya memerlukan modal besar dan tidak semua orang termasuk dirinya mampu berdepan risiko kerugian jika produk gagal di pasaran.

Maka katanya, menjadi pengedar, stokis, ejen jualan atau dropship adalah antara penyelesaian untuk menjana pendapatan menerusi komisen dan keuntungan sekiranya produk berjaya dijual.

Risikonya tidak sebesar pengeluar produk yang perlu memikirkan kos pengeluaran, pembuatan, strategi pemasaran dan risiko barang tak laku atau tidak mendapat sambutan.

TERPILIH sebagai ketua terbaik negeri membolehkan Rahidah menerima insentif melancong ke luar negara.
TERPILIH sebagai ketua terbaik negeri membolehkan Rahidah menerima insentif melancong ke luar negara.

Katanya, ada yang menganggap menjual produk orang lain dengan mendapat sedikit keuntungan tidak mampu membuat seseorang itu kaya dan mengaut keuntungan besar.

Bagaimanapun, dia berjaya membuktikan tidak semestinya perlu menjadi pengasas produk atau mengeluarkan barangan sendiri untuk berjaya dalam perniagaan.

Rahidah hanya bermula dengan menjual barangan dan produk syarikat lain sebagai asas perniagaan, tapi masih memperoleh pendapatan lumayan.

Kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan Rahidah dalam membantu memasarkan produk itu akhirnya melayakkan Rahidah dilantik sebagai pengedar bagi negeri Johor oleh pengasas syarikat pada tahun sama dan membentuk pasukannya sendiri yang dinamakan TimMademJdt.

“Konsep perniagaan ini adalah berjemaah dan berkongsi rezeki, jadi saya memang menekankan kerjasama yang erat dengan pasukan, memberi bimbingan serta sokongan untuk mereka terus berjaya.

“Bagi saya, pencapaian terbaik dalam mengetuai pasukan ini apabila melihat kejayaan pasukan mengubah taraf ekonomi mereka. Jika dulu mereka tiada apa-apa, dengan usaha dan kesungguhan berniaga mereka dapat membeli kereta.

“Ada isteri dan suri rumah yang dapat menjana pendapatan sendiri dan membantu suami meringankan perbelanjaan harian malah mampu bercuti dengan hasil berniaga kacang. Pencapaian ini adalah kejayaan besar saya sejak menceburi bidang ini pada 2015,” katanya.

Baginya, tidak semestinya perlu menjadi pengasas atau pengeluar barangan dan produk sendiri untuk berjaya, sebaliknya bermula dengan produk orang lain juga boleh berjaya menjana pendapatan.

Menurut Rahidah, meskipun kini menuai hasil daripada usaha dan penat lelah, dia tidak terlepas diuji dengan onak dan duri.

Katanya, pada awal berniaga, dia bersama suami menggunakan tulang empat kerat mereka sendiri mengangkat kotak di hentian bas Larkin ketika stok dari ibu pejabat sampai untuk dibawa pulang ke rumah.

Rumahnya menjadi gudang barangan niaga, memenuhi ruang tamu hinggalah ke dapur dan bilik tidur, namun itu tidak menjadi halangan buatnya hinggalah mampu menyewa stor sendiri.

BERSAMA pasukannya meraih jualan tertinggi negeri.
BERSAMA pasukannya meraih jualan tertinggi negeri.

Rahidah berkata, dia juga pernah berdepan dugaan perit pada 2017 apabila pengasas menghentikan pengeluaran produk untuk jualan akibat masalah kualiti kacang.

“Memang diakui saya agak terkesan ketika itu kerana pendapatan saya dan pasukan merudum tapi kami tidak berputus asa dan bangkit semula. Selepas semua masalah dapat diselesaikan, saya tingkatkan usaha dan ambil keputusan berhenti kerja pada Disember tahun lalu untuk memberi sepenuh tumpuan pada pasukan saya.

“Alhamdulillah, tahun lalu mencatat kenangan buat saya dan pasukan kerana pencapaian pembelian tertinggi bagi seluruh negeri dengan rekod 70,700 botol setahun.

“Tahun sama juga saya dinobatkan sebagai Ketua Terbaik Seluruh Negeri manakala pasukan menerima Anugerah Team Piranha 2018 di atas pencapaian membuat jualan tertinggi,” katanya.

Menurut Rahidah, kejayaan dan impiannya pasti tidak tercapai tanpa sokongan suami tercinta, Norafandy Mohd Taib, 48, dan anak lelakinya.

Katanya, dua insan kesayangannya itu adalah pembakar semangat untuk dia terus berjuang dalam mengemudi pasukannya.

SUAMI dan anak lelaki tulang belakang kejayaan.
SUAMI dan anak lelaki tulang belakang kejayaan.

Selain itu, pasukan yang dinamakan Team Kacang Warrior JDT itulah ‘tenaga’ untuk dia terus bangkit dalam misi menjadikan mereka yang terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal dan juga wanita bekerjaya sebagai usahawan wanita berjaya dan kaya dunia dan akhirat.

Nasihatnya terutama buat suri rumah atau ibu tunggal yang mahu berniaga, bermulalah dengan apa yang ada di tangan, malah baginya dengan modal serendah RM50 pun tidak mustahil mendatangkan hasil berganda.

“Semua itu tidak mustahil dan saya sendiri sudah membuktikannya. Apa yang perlu ada dalam diri kita adalah keinginan tinggi untuk mengubah nasib diri dan keluarga agar dapat keluar daripada kepompong kemiskinan atau meningkatkan taraf hidup

“Saya sentiasa berpegang pada prinsip apabila kita mulakan sesuatu, usahakan sampai jadi biarpun terpaksa menempuh dugaan yang kadang-kadang menguji kesabaran kita. Selain itu, wanita juga jangan sesekali meragui kebolehan dan kemampuan diri sendiri,” katanya.

Baginya, wanita jauh lebih bersabar berbanding lelaki malah mereka lebih berdaya tahan dan kental emosi. Jika tidak, Allah tidak jadikan wanita insan yang hamil, melahirkan dan menyusukan seperti kata pepatah, ‘wanita yang menghayun buaian juga boleh menggoncang dunia’.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 5:01 AM