HAMIDAH sentiasa ingatkan diri supaya berniaga secara jujur dan amanah.
HAMIDAH sentiasa ingatkan diri supaya berniaga secara jujur dan amanah.
Siti Nadirah Hafidzin


DI saat kebanyakan individu yang sudah bersara memilih untuk berehat daripada melakukan apa juga pekerjaan, berbeza dengan anak kelahiran Kampung Teluk Bakong, Parit, Perak ini.

Sudah berusia 57 tahun namun semangat dan kesungguhannya dalam memastikan diri serta seluruh keluarganya dapat menjalani kehidupan dengan baik wajar dicontohi.

Bagi Hamidah Uda Ahmad, faktor usia tidak sesekali menjadi penghalang untuknya terus memajukan kehidupan. Tiada apa yang mustahil asalkan tetap berusaha selagi hayat dikandung badan.

Memilih untuk berkecimpung sebagai peniaga dalam talian atas faktor minat menjadikan Hamidah bukan saja berjaya mencapai apa yang diinginkan malah dalam masa sama kekal sihat disebabkan rutin harian yang memerlukan dia bergerak aktif.

Memulakan bicara, dia sememangnya mengakui minat berniaga dan menjalankan pelbagai perniagaan sejak puluhan tahun lalu.

“Asalkan boleh dijual saya akan cuba untuk menjualnya, daripada beg, kasut, cadar dan kuih muih semuanya saya pernah jual. Ketika itu perniagaan dalam talian belum aktif seperti sekarang sebelum saya mula berniaga minyak wangi pada 2015.

BERSAMA keluarga tercinta.
BERSAMA keluarga tercinta.

“Saya semakin rasa seronok dan bersemangat, mana tidaknya, berniaga atas talian ini sangat berbeza dan lebih mudah kerana tidak perlu bertemu pelanggan untuk memberi penerangan membuatkan saya semakin rancak belajar berniaga,” katanya.

Menurut Hamidah, semakin hari dia semakin rancak berniaga hingga kadangkala menyebabkan kehidupan hariannya menjadi semakin sibuk terutama selepas menjual produk kesihatan dan kecantikan Richglow.

“Pagi saya mengajar di sekolah dan pada sebelah malam pula, saya menguruskan perniagaan atas talian. Pelanggan juga semakin bertambah menyebabkan saya mula menghadapi masalah untuk membahagikan masa antara tugas hakiki dengan perniagaan.

“Atas sebab itu juga saya berhasrat bersara awal kerana tidak mahu perniagaan ini mengganggu kerja hakiki di sekolah namun atas nasihat keluarga terutama suami, saya tekad mengambil cuti tanpa gaji sehingga ke tarikh persaraan,” ujarnya.

Malah dia amat bersyukur berkat usaha kerasnya kehidupannya sekeluarga bertambah baik walaupun selepas bersara.

“Ramai yang bertanya mengapa perlu bekerja keras sedangkan menerima wang bersara setiap bulan namun bagi saya, selagi kita hidup tidak salah untuk terus bekerja kerana saya bukan saja mahukan kehidupan yang selesa. Malah saya juga mahukan anak serta cucu-cucu dapat hidup dengan sempurna.

“Syukur, berkat berniaga juga membolehkan saya kembali menabung setiap bulan dengan konsisten selain dapat melancong dan menunaikan ibadat umrah,” katanya.

Kata Hamidah, walaupun semuanya nampak mudah dan seronok, hakikatnya dia juga tidak terkecuali berdepan 1,001 ragam dan kerenah pelanggan.

“Pelanggan ada banyak ragam yang memerlukan saya terus bersabar. Bagi saya apa juga perniagaan yang saya jalankan, saya perlu percaya dengan konsep rezeki yang ditentukan. Disebabkan itu, saya tidak pernah berputus asa dan berdoa kepada Yang Maha Esa.

BERSAMA suami di Tanah Suci. Kanan, ketika melancong ke Turki.
BERSAMA suami di Tanah Suci. Kanan, ketika melancong ke Turki.

“Saya yakin dan sentiasa berpegang bahawa sembilan daripada 10 punca rezeki itu datangnya daripada perniagaan. Saya juga sentiasa mengingatkan diri supaya berniaga secara jujur dan amanah,” ujarnya.

Menurutnya, dia juga sangat bersyukur kerana suami dan anak-anak sentiasa berada di sisi dan memberi sokongan penuh terhadap perniagaan yang dijalankan.

“Suami juga antara individu yang sentiasa membantu dalam urusan membungkus dan mengepos barang. Dia juga sentiasa beri semangat supaya saya konsisten dalam apa juga yang dijalankan.

“Saya rasa tenang dan gembira kerana wang hasil berniaga sebahagiannya dapat digunakan untuk keperluan diri dan membantu meringankan beban perbelanjaan harian suami, dapat memberi ibu wang belanja setiap bulan dan membantu individu yang memerlukan,” katanya.

Katanya, dia berharap dapat menarik lebih ramai wanita muda terutama suri rumah untuk merasai manfaat daripada usaha berniaga dalam talian.

“Saya sering menasihati wanita supaya jangan terlalu berharap dengan suami kerana setiap wanita perlu ada wang poket sendiri.

“Tidak kira berapa usia anda dan adakah anda bekerja atau tidak, asalkan ada kemahuan untuk mengubah kehidupan,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 6:00 AM