PEMERIKSAAN lanjut perlu dilakukan segera.
PEMERIKSAAN lanjut perlu dilakukan segera.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Hati ibu bapa mana yang tidak bimbang sekiranya si kecil tersayang sering mengadu sakit kepala terutama selepas pulang dari tadika mahupun sekolah.

Kesakitan itu kadang­kala menyebabkan kanak-kanak menjadi murung dan pendiam, mungkin akibat menahan kesakitan yang dianggap janggal pada mereka.

Ubat sebarangan tidak boleh diberikan terutama sekiranya kesakitan itu dilihat semakin serius sehingga menyebabkan mereka menangis atau mengganggu emosi.

Sebagai ibu bapa mahupun penjaga, kenali jenis sakit kepala yang melanda kanak-kanak:

Sakit kepala akut

Sakit kepala ini berlaku hanya sesekali dikenali juga sakit kepala akut. Ini mungkin berpunca daripada:

- Jangkitan viral ringan seperti selesema dan demam selesema termasuk jangkitan penyakit berjangkit yang serius contohnya demam denggi, malaria dan demam kepialu.

- Sinus adalah laluan udara yang terdapat di antara tulang muka dan tulang tengkorak. Kanak-kanak akan mengadu sakit kepala apabila laluan udara ini dijangkiti dan dipenuhi cecair atau lendir, keadaan ini dikenali sebagai ‘sinusitis.’

- Sakit kepala boleh juga terjadi apabila otot di sekeliling mata menjadi penat. Ia mungkin berlaku apabila kanak-kanak mengalami masalah rabun dekat atau lapisan kornea yang tidak rata (astigmatism) menyebabkan mereka mengalami ketegangan semasa melihat.

- Glaukoma ialah satu keadaan apabila tekanan di bola mata meningkat dan keadaan ini sekali-sekala menyebabkan sakit kepala.

- Gigi bernanah atau jang­kitan gusi juga boleh menyebabkan sakit kepala.

- Sakit kepala kronik atau sakit kepala berulang

Sakit kepala yang berlaku berulang kali atau berterusan dalam jangka masa panjang dikenali sebagai sakit kepala kronik.

Kanak-kanak yang mengalami sakit kepala kronik atau sakit kepala berterusan jarang mendapat masalah gangguan otak yang serius seperti ketumbuhan otak, pembesaran arteri secara berlebihan atau kemerosotan fungsi otak.

Gejala yang biasa berlaku ialah muntah, hilang penglihatan, lemah anggota badan, sawan atau kemerosotan ingatan.

Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami sakit kepala kronik atau berulang mengalami migrain atau sakit kepala disebabkan ketegangan.

Migrain

Migrain mengakibatkan sakit seperti mencucuk-cucuk di sebelah kepala. Ia bermula di bahagian dahi dan di tepi kepala atau kedua-dua bahagian kepala.

Kanak-kanak juga berasa loya dan muntah dan pada masa sama, mereka mungkin mengadu mata berpinar dan mengganggu ketenangan dan keselesaannya.

Kanak-kanak yang mengalami migrain lebih selesa dengan suasana senyap dan gelap untuk berehat kerana suasana bising dan terang menyebabkan sakit kepala menjadi semakin teruk.

Sakit kepala tegang

Sakit kepala ini amat lazim terjadi dalam kalangan kanak-kanak. Ia juga dikenali sebagai sakit otot kepala yang berpunca daripada ketegangan otot di bahagian dahi dan tepi kepala.

Sakit kepala ini selalunya disebabkan perasaan bimbang, tekanan emosi atau situasi yang tegang di mana jua.

Apabila bertemu doktor, anda haruslah:

Menerangkan gejala dialami

- Penerangan yang jelas dapat membantu doktor mengenal pasti jenis sakit kepala yang dialami dan tidak mengabaikan faktor penyebab yang lain.

Doktor juga perlu mengetahui sejauh mana sakit kepala menyekat pembabitan aktiviti harian kanak-kanak di rumah atau di sekolah.

Menyimpan buku harian untuk mencatat kejadian sakit kepala memang penting untuk mengetahui kekerapan dan keseriusannya kerana kanak-kanak juga boleh mengalami kedua-dua migrain dan sakit kepala tegang serentak.

Melakukan pemeriksaan fizikal

- Doktor perlu melakukan pemeriksaan fizikal menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada fungsi urat saraf dan penglihatan.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad, sakit kepala dalam kalangan kanak-kanak biasa berlaku dan selalunya tidak serius.

Seperti orang dewasa, kanak-kanak boleh mengalami pelbagai jenis sakit kepala termasuk migrain atau sakit kepala yang berkaitan dengan tekanan di sekolah.

“Namun begitu ada kes sakit kepala dalam kalangan kanak-kanak yang agak serius disebabkan jangkitan kuman atau kecederaan trauma pada kepala sehingga menyebabkan pembentukan darah beku di otak.

“Kebanyakan sakit kepala kanak-kanak tidak serius, tetapi segera dapatkan pemeriksaan dan rawatan sekiranya sakit kepala itu mengganggu rutin sehariannya contohnya sakit kepala sehingga sukar tidur dan masih sakit kepala selepas bangun tidur.

“Pemeriksaan lanjut perlu dilakukan jika sakit kepalanya lebih teruk dan semakin kerap atau sehingga si kecil menjadi pendiam dan tidak aktif di sekolah,” ujarnya yang menyarankan rawatan segera sekali gus mengelak risiko berlakunya penyakit berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 12:30 PM