TANAMAN yang dibelai setiap hari.
TANAMAN yang dibelai setiap hari.
Siti Nadirah Hafidzin

Semuanya bermula kerana ingin menghilangkan kebosanan. Matanya sakit melihat kawasan kosong di belakang rumah ditumbuhi rumput liar dan perlu dibersihkan dari semasa ke semasa.

Ketika itu dia mula terfikir, daripada dia berpeluh mencabut rumput yang tumbuh subur, lebih baik jika peluhnya mengalir kerana membersihkan tanaman yang boleh memberi manfaat seperti sayur-sayuran dan herba dapur.

Walaupun aktiviti menanam itu pada awalnya dilakukan pada masa terluang, perasaannya berubah apabila melihat tanamannya hidup subur. Seronoknya lain macam, apatah lagi ketika tumbuhan yang ditanam sudah boleh dipetik.

Kini, tanpa disangka wanita ini seolah-olah ketagih untuk berkebun sehingga meletakkan sasaran sendiri iaitu menanam sekurang-kurangnya satu tanaman setiap minggu.

Bagi suri rumah, Azlinda Hamzah, berkebun dan bercucuk tanam mampu memberi ketenangan yang sukar digambarkan selain ia antara terapi paling berkesan untuk mengurangkan tekanan.

TANAMAN hidup subur dan segar.
TANAMAN hidup subur dan segar.

Menurutnya, mungkin tidak semua individu meminati hobi itu namun tidak boleh disangkal, ia antara aktiviti yang banyak memberi manfaat.

“Pada mulanya saya hanya bercucuk tanam secara suka-suka namun lama-kelamaan ia berubah hari demi hari.

“Saya tidak boleh duduk diam, ada saja tanaman yang ingin ditanam, mana tidaknya, semua tanaman hidup subur dan sihat yang menambahkan keseronokan kepada saya dan suami,” katanya.

Bukan saja menggembirakan, Azlinda berkata, ia memberikan kepuasan tidak ternilai terutama apabila tanaman yang dibelai setiap hari membuahkan hasil.

“Saya tinggal di kawasan perumahan namun mempunyai sedikit kawasan di belakang rumah. Di situlah saya dan suami rancak bercucuk tanam.

“Kami pantang nampak ada kawasan kosong, otak ligat berfikir jenis tanaman apa mahu disemai di situ. Saya suka melihat tanaman hidup subur dan ia menjadi terapi paling berkesan untuk saya,” ujarnya.

Menurutnya, hilang segala kepenatan apabila melihat tanaman membuahkan hasil dan hidup subur yang menjadikan dia mahu menambah tanaman setiap minggu.

Sejak itu setiap kali ke mana-mana, pasangan suami isteri ini suka memerhatikan tanaman yang ada di satu-satu tempat atau rumah saudara-mara malah sahabat-handai.

“Selain itu, kami sekeluarga juga berpeluang menikmati hasil tanaman sendiri yang segar. Antara jenis tanaman yang saya ada adalah kangkung, bayam, terung, cili, daun sup, kacang panjang, kubis, peria, tomato ceri dan pelbagai jenis ulam seperti kacang botol.

“Disebabkan mempunyai kawasan tanah yang agak terhad, kami banyak bercucuk tanam di dalam kotak gabus namun syukur, semua tanaman hidup subur dan membuahkan hasil yang segar,” katanya.

ANTARA sayuran yang ditanam.
ANTARA sayuran yang ditanam.

Berkongsi minat yang sama dalam aktiviti di kebun dapurnya, Azlinda amat bersyukur dianugerahkan pasangan hidup yang banyak membantunya menguruskan tanaman mereka.

“Suami juga suka bercucuk tanam, selain di kawasan belakang rumah, dia turut mengusahakan kawasan lapang di belakang rumah keluarganya. Sebenarnya saya suka juga dia begitu. Daripada tanah dibiarkan kosong dan ditumbuhi semak, lebih baik ia diusahakan. Malah kami juga seronok andai usaha ini dapat menarik minat jiran untuk sama-sama memanfaatkan tanah terbiar.

“Bagi saya ia lebih baik supaya kita dapat mencantikkan kawasan perumahan dengan tanaman yang bermanfaat. Kalau boleh kami mahu seluruh ahli keluarga juga dekat jiwanya dengan usaha bertani.

“Mungkin ini adalah jiwa kami. Bagi kami, semua ini terapi terbaik dalam hidup terutama untuk menghilangkan kepenatan dan tekanan. Berkebun juga mengeratkan hubungan saya dan suami. Malah ia juga secara tidak langsung membuka peluang komunikasi positif antara kami suami isteri,” katanya.

Tambahnya, setiap individu mempunyai minat dan hobi tersendiri, namun dia yakin minatnya dalam aktiviti kebun dapur ini antara hobi yang paling bermanfaat bukan saja pada diri, malah kepada seluruh ahli keluarga dan kenalan yang bersama-sama dapat menikmati hasil tanaman itu.

HOBI bertani menyihatkan badan.
HOBI bertani menyihatkan badan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 11:45 PM