Movenpick KLIA. FOTO BERNAMA
Movenpick KLIA. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Sepang: Pandemik covid-19 yang masih melanda negara ketika ini turut memberi tempias serta menjejaskan sektor perniagaan termasuk industri perhotelan yang rata-ratanya diselubungi suasana suram.

Hotel yang dulunya meriah dikunjungi pelancong tempatan dan luar, kini boleh dikatakan lengang dan banyak bergantung kepada kebijaksanaan pihak pengurusan untuk melakukan pelbagai cara bagi memastikan perniagaan boleh terus beroperasi pada waktu sukar ini.

Salah sebuah hotel yang turut menerima nasib yang sedemikian ialah Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA (Movenpick KLIA), Sepang, Selangor.

Menurut Pengurus Besar Movenpick KLIA, Wan Enderi Mohd Saad (he), hotel berkenaan yang memulakan operasi pada 1 Oktober 2018 mula mengalami kesulitan akibat Pandemik covid-19 semasa bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun 2020.

Untuk makluman, Bangunan Movenpick KLIA adalah milik Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau berkata, sebelum pandemik, hotel itu banyak menerima pelanggan dari sektor korporat dan kerajaan yang rata-ratanya kerana menghadiri persidangan atau acara di pusat konvensyen itu, atau pelancong tempatan terutamanya semasa musim haji.

Apabila menularnya wabak covid-19 dan kerajaan melakukan pelbagai sekatan pergerakan, pihak hotel, kata beliau, perlu memikirkan alternatif untuk menjana pendapatan atau mengurangkan perbelanjaan bagi memastikan operasi hotel boleh bertahan dan seterusnya nasib para pekerja tidak terabai.

Bagi Movenpick KLIA, selain menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan ke kawasan sekitar Cyberjaya, Sepang, Salak Tinggi dan Bandar Enstek, hotel itu turut menawarkan satu produk premium iaitu kambing perap sejuk beku untuk dijual kepada orang ramai.

Dengan jenama, Kambing Perap Temasya, terdapat dua pilihan iaitu Mongolian serta Honey Glaze dan produk ini mula dipasarkan bermula Februari 2021.

Menurut Wan Enderi, Kambing Perap Temasya adalah hasil olahan chef di Movenpick KLIA yang didatangkan dengan pek 500 gram atau satu kilogram bersama sos lada hitam dan kentang. Ia dijual secara dalam talian dan orang awam boleh membeli secara bawa pulang atau penghantaran dalam radius 30 kilometer.

"Kambing perap ini biasanya kita tawarkan bersama menu bufet di hotel terutamanya semasa bulan Ramadan dan ia sentiasa mendapat sambutan daripada pelanggan kami.

"Buat masa ini kami sudah menjual lebih 150 paket kambing perap sejuk beku ini. Permintaan tak banyak kerana kawasan hotel ini bukan kawasan kediaman," katanya sambil menambah, selain kambing perap, pihaknya juga menjual juadah seperti kari kepala ikan yang dihantar terus ke rumah atau pejabat pelanggan.

Sementara itu, Chef Sous Firdaus Atan Din, cef yang bertanggungjawab mengolah persiapan kambing perap ini berkata, resepi Kambing Perap Temasya ini diolah daripada gabungan citarasa Mongolian dan Southern America dengan penambahbaikan untuk menepati cita rasa Asia, Penyediaan mengambil masa lebih kurang tiga jam bermula daripada penyediaan rempah perapan sehingga selesai diperap.

"Kambing yang digunakan adalah daripada baka White Dorper Sheep dari Australia. Kambing ini dipilih kerana kualiti daging yang premium, lembut dan segar.

"Selain itu, ia juga mempunyai kadar lemak dan otot yang seimbang yang memudahkan daging diperap sempurna dengan rempah perapan," katanya.

Firdaus berkata, antara keistimewaan kambing perap keluaran Movenpick KLIA ialah kombinasi rasa masam, manis dan pedas yang unik, berbeza dengan kambing perap yang terdapat di pasaran.

"Cita rasa Mongolian (perisa Mongolian) dipilih kerana cara masakan yang lebih menitikberakan keaslian rasa daging dikekalkan dengan pengunaan rempah ratus yang minimum.

"Manakala, cita rasa Southern America (Honey Glazed) pula dipilih kerana kombinasi aromatik tumis dan gaya masakan yang juga digemari oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia.

"Ramuan perapan dan teknik perapan juga amat dititikberatkan untuk memastikan rasa perapan yang konsisten," katanya, sambil menambah, penggunaan teknologi daripada vacuum meat tumbler juga membantu untuk memastikan daging perapan lebih lembut dan berperisa.

Beliau berkata, dua jenis perisa iaitu Mongolian dan Honey Glazed dipilih kerana dua perisa ini mendapat permintaan yang banyak dalam kalangan pelanggan hotel itu.

Di samping menjual produk sejuk beku, pengurusan Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA (Movenpick KLIA) turut melakukan pelbagai inisiatif penjimatan kos, antaranya penggunaan elektrik secara berhemah dan tidak mengambil pekerja baharu.

Menurut Wan Enderi, sebelum pandemik, hotel itu mempunyai seramai 189 orang pekerja dan kini hanya tinggal 125 orang pekerja yang masih berkhidmat di pelbagai unit dan jabatan.

"Pihak hotel tidak pernah membuang pekerja atau kita panggil retrenchment, sebaliknya ada pekerja yang berhenti kerana pelbagai sebab dan kekosongan itu tidak kita isi dengan pekerja baharu.

"Bila ada jabatan kurang pekerja, kita tampung dengan jabatan lain. Contoh, bahagian pentadbiran dan jualan, memandangkan pada masa ini mereka tidak boleh keluar untuk cari pelanggan, maka pekerja di bahagian ini kita minta mereka bantu pekerja di bahagian operasi," katanya.

Dari segi penjimatan, Wan Enderi berkata, pihak pengurusan memastikan penggunaan elektrik pada kadar minimum tanpa menjejaskan operasi hotel selain melaksanakan pelbagai inisiatif jimat elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 4:09 PM