BULUH perlu bersih serta kering sebelum dituang susu dan dibiarkan semalaman hingga beku sebelum boleh dimakan.
BULUH perlu bersih serta kering sebelum dituang susu dan dibiarkan semalaman hingga beku sebelum boleh dimakan.
Norizuan Shamsuddin


SUSU kerbau masam antara hidangan tradisi masyarakat di Terengganu namun ia semakin dipinggirkan kerana tidak ramai mengusahakannya ketika ini.

Mohd Thani Embun, 58, antara pengusaha susu kerbau masam di negeri ini yang diwarisi daripada arwah bapanya yang meninggal dunia pada 1995.

“Arwah ayah peniaga susu kerbau masam di Pasar Kuala Berang. Selain menjual susu kerbau masam, saya turut mewarisi penternakan kerbau yang dimulakan arwah sejak 1970-an,” katanya yang kini menternak 20 ekor kerbau.

Mohd Thani bekerja sebagai kerani berkata, dia mengusahakan perniagaan susu kerbau masam pada 2007 bagi meraih pendapatan sampingan memandangkan tidak ramai mengusahakan makanan berkenaan.

Katanya, proses pembuatan susu kerbau masam tidak terlalu rumit kerana hanya memerlukan susu kerbau dan buluh saja.

“Buluh dibersihkan dan dijemur sehingga kering sebelum susu kerbau segar dituang.

“Susu kerbau yang berada di dalam buluh dibiarkan semalaman sehingga beku seperti dadih sebelum boleh dimakan.

“Pembuatan susu kerbau masam ini ada pantang larang iaitu tidak boleh dicampur dengan air, jadi kita perlu memastikan bekas dan buluh digunakan betul-betul kering bagi memastikan susu itu beku,” katanya.

Mohd Thani berkata, susu digunakan diperah daripada kerbau peliharaannya sendiri setiap pagi sebelum ke tempat kerja.

Katanya, susu masam itu dijual kepada peniaga Pasar Kuala Berang pada Sabtu dan Rabu antara RM10 hingga RM13 bergantung pada saiz buluh.

“Disebabkan susu kerbau masam ini hanya ada di Pasar Kuala Berang, ramai pelanggan datang mencari saya dan biasanya, seawal jam 9 pagi ia sudah habis dijual,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya susu kerbau masam dimakan dengan gula atau dicicah dengan budu untuk dimakan bersama nasi.

“Rasa susu kerbau masam ini lain dan tidak sama seperti susu kambing yang berbau hamis yang mana ia bagus untuk usus dan kesihatan badan serta rasanya seperti yogurt.

Tambah Mohd Thani, dia bercadang menjadikan pembuatan susu kerbau masam itu secara sepenuh masa apabila bersara.

“Susu kerbau masam ini ada peminatnya tetapi tidak ramai yang mengusahakannya ketika ini menyebabkan saya bercadang melakukan secara sepenuh masa selepas bersara nanti kerana permintaannya yang tinggi,” katanya.

MOHD Thani dan isteri, Kamariah Saleh menyusun  susu masam di dalam buluh untuk dijual di Kampung Gaung, Kuala Berang.
MOHD Thani dan isteri, Kamariah Saleh menyusun susu masam di dalam buluh untuk dijual di Kampung Gaung, Kuala Berang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 6:00 AM