MENDENGAR taklimat.
MENDENGAR taklimat.
Intan Mas Ayu Shahimi

Meninjau dari sudut kolam renang, wanita ini tenang berkerusi roda. Sesekali merenung jauh ke tengah, wanita ini nampak leka seketika. Nurul Fathiah Jamaluddin, 30, bukan sembarangan wanita.

Walaupun dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) sejak hampir 15 tahun lalu, semangat juang yang dimiliki menjadikan dirinya lebih berharga dan istimewa.

Dalam keterbatasan diri untuk bergerak, anak kedua daripada empat beradik ini berjaya meneroka sisi baru dalam hidupnya sebagai penyelam skuba. Tidak ada jalan mudah.

Biarpun dalam kalangan orang normal, bukan semua mampu mencabar kemampuan diri untuk berada di air dengan kedalaman empat ke enam meter. Inikan pula wanita sepertinya yang tidak mampu menggerakkan tubuh.

Mengimbau saat keupayaannya sebagai manusia normal hilang, Nurul Fathiah berkata, semua berlaku sekelip mata. Namun, kesannya mungkin akan terus kekal sepanjang hayat.

Dilahirkan normal dan membesar seiring anak remaja lain, wanita ini diduga dengan ujian maha hebat. Tiada siapa tahu, apatah lagi dapat menjangka tubuh yang sihat suatu ketika dulu hilang keupayaan diri begitu saja.

“Saya bergelar OKU tanpa sedar. Pada hari berkenaan, saya terjaga dari tidur dan berusaha bangun untuk bersiap dan ke sekolah seperti biasa. Namun, hairan apabila tubuh terasa begitu lesu dan kaku.

“Seluruh anggota badan, kaki dan tangan lemah. Tidak ada satu pun yang boleh bergerak melainkan kerdipan mata. Hanya Allah SWT yang tahu bagaimana perasaannya saat menyedari diri menjadi kaku.

“Dunia bagaikan berputar tanpa henti. Segala nikmat diragut, hati dan perasaan hancur berkecai. Sukar untuk saya terima hakikat diri lumpuh. Sedangkan saya seorang yang begitu aktif dalam sukan di sekolah, sukakan cabaran, aktiviti lasak serta mudah teruja setiap kali menyertai program luar,” katanya.

NURUL Fathiah.
NURUL Fathiah.

Lama dia mengambil masa untuk pulih daripada kecederaan emosi yang dialami. Daripada seorang yang lincah, Nurul Fathiah bertukar murung, tertekan, dihimpit putus asa dan mula hilang keyakinan diri.

Biarpun pahit, kehidupan masih diteruskan. Sokongan keluarga dan rakan banyak membantu wanita ini menerima keadaan diri. Dia berusaha menjalani hidup normal biarpun dihalangi banyak rintangan.

“Sudah lama saya tahu mengenai selam skuba dan beranggapan ia aktiviti untuk orang normal saja. Saya tidak pernah tahu OKU seperti saya boleh menyelam skuba.

“Kemudian, kawan, Tuan Haji Syed (Pengarah dan Ketua Jurulatih Kids Scuba Syed Abd Rahman Syed Hassan) serta anggota DIVEHeart Malaysia memperkenalkan sukan ini kepada saya.

“Melihat ramai rakan senasib turut menyertai sukan ini, saya nekad untuk turut serta, sekali gus mempelajari ilmu dan mendalami kemahiran selam skuba,” katanya.

DIBANTU mengenakan peralatan skuba.
DIBANTU mengenakan peralatan skuba.

Untuk permulaan, Nurul Fathiah mengenal latar belakang DIVEHeart sebagai organisasi yang bekerjasama dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Mungkin sudah rezeki, saya dipilih oleh Pusat Rehab PPUM dan dilatih Tuan Haji Syed, selaku Duta DIVEHeart Malaysia dan ketua jurulatih PADI Adaptive Techniques Speciality. Pihak PADI pula menyokong dengan memberi tajaan kepada OKU yang dilatih khas beliau,” katanya.

Mencabar keyakinan

Bercerita mengenai pengalamannya sewaktu baru hendak bermula, Nurul Fathiah mengakui berdepan sedikit kesukaran kerana perlu menumpukan pernafasan melalui mulut saja.

“Itu pun tidak lama. Selepas beberapa kali, saya mula selesa. Apa yang penting, saya berasa seperti orang normal apabila berada di dalam air. Tubuh juga lebih ringan berbanding kebiasaan.

“Sepanjang mengikuti latihan ini, saya diajar perkara asas, cara untuk masuk ke dalam air, mengimbang tubuh dan menyesuaikan diri dengan persekitaran. Latihan OKU juga berbeza dengan orang normal kerana mengambil masa panjang iaitu kira-kira empat bulan berbanding seminggu.

“Bagi diri saya yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah, latihan bergantung sepenuhnya kepada tangan. Jadi, saya perlu lebih bersedia dan peka,” katanya.

MENGIKUTI latihan asas untuk mempersiapkan diri ke pulau.
MENGIKUTI latihan asas untuk mempersiapkan diri ke pulau.

Ditanya mengapa memilih selam skuba, ringkas jawapan Nurul Fathiah. Dia mahu mencabar diri dan mengembalikan rasa yakin yang hilang sejak 15 tahun dulu.

“Sokongan mak, ayah dan keluarga tidak pernah putus. Merekalah yang selalu memberi kata-kata semangat untuk saya terus yakin pada kebolehan diri.

“Saya bersyukur kerana sukan ini mengubah dan memberi harapan kepada diri. Selam skuba menyuntik semangat kembali dalam diri. Saya harap, lebih ramai OKU berpeluang menceburi sukan ini pada masa depan.

“Begitu juga dengan kemudahan OKU di pulau peranginan, saya harap mereka sedia menawarkan perkhidmatan terbaik untuk kegunaan orang seperti saya,” katanya yang berterima kasih kepada kru dan pakar fisioterapi PPUM yang banyak memberi sokongan.

SESI latihan di kolam renang.
SESI latihan di kolam renang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 3:07 PM