Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Khasiat dan kepentingan susu ibu terhadap bayi memang tidak dapat dinafikan lagi. Selain mengeratkan perhubungan di antara kedua-duanya, susu ibu juga kaya protein, laktosa, zat besi, kalsium, fosfat dan boleh menjadi sumber air mencukupi buat bayi.

Menyedari pentingnya susu ibu, ramai wanita kini mula mengambil inisiatif menyusukan bayi secara eksklusif, sekurang-kurangnya enam bulan pertama dan sehingga si manja berusia dua tahun.

Dalam keterujaan untuk memberikan yang terbaik buat si kecil tersayang, masih ada wanita yang menyembunyikan rasa kecewa dalam diam kerana tidak dapat mengumpul stok susu perahan (EBM) sebagaimana ibu lain.

Lebih mengecewakan, mereka juga beranggapan bahawa stok EBM yang banyak adalah suatu kemestian dalam melancarkan proses penyusuan bayi. Sedangkan pengeluaran susu berlebihan sebenarnya boleh menjadi petanda buruk untuk mereka yang bergelar ibu.

Doktor Perubatan dan Kaunselor Laktasi Klinik Famili Gravidities, Dr Nurzarina Abdul Rahman berkata, ada segelintir ibu memang sukar mengumpul stok EBM. Namun, yang membimbangkan adalah wanita dengan sindrom hiperlaktasi sehingga memaksa mereka memerah susu dengan lebih kerap berbanding ibu lain.

“Masyarakat kita selalu mengandaikan ibu yang mengalami sindrom hiperlaktasi sebagai wanita bertuah kerana bukan saja berupaya membekalkan keperluan susu yang cukup untuk bayi, malah lebih daripada sepatutnya.

“Bagaimanapun, perlu diketahui keadaan ini mungkin berlaku disebabkan beberapa punca kurang menyenangkan. Antaranya faktor semula jadi, jumlah sel kilang susu (alveoli) berlebihan dan paling digeruni adalah disebabkan masalah patologi.

“Ini bermakna, ibu terbabit mengalami ketumbuhan pada kelenjar pituitari sehingga terhasilnya hormon prolaktin berlebihan dalam tubuh dan menyebabkan galaktorea (keluarnya cairan tidak berkait dengan penghasilan susu ibu atau pengeluaran susu yang banyak dan tidak normal). Ibu yang mengalami masalah patologi ini sepatutnya merujuk kepada pakar untuk pengesanan lanjut,” katanya.

Jelas Dr Nurzarina, dia percaya ramai ibu mungkin mudah membuat kesimpulan sendiri apabila melihat keupayaan wanita lain menghasilkan banyak susu untuk bayi mereka.

“Mereka biasanya cemburu, tertekan, risau, sedih dan sebagainya. Tetapi, perlu difahami bahawa selagi wanita itu mampu membekalkan susu yang cukup untuk bayi, dia tidak perlu berasa tergugat dengan usaha ibu lain mengumpul stok EBM.

“Kita tidak tahu, ibu yang mewah dengan susu ini ada waktunya berdepan lebih banyak masalah. Mereka boleh mengalami luka akibat penolakan bayi, saluran susu tersumbat atau mastitis (jangkitan kuman pada payudara).

“Sementara bayi mereka juga mungkin lebih mudah mengalami kembung perut, masalah berat berlebihan atau kurang berat badan serta kerap muntah. Sebab itu, kita ingatkan kepada ibu lain supaya jangan mudah tertekan melihat wanita yang mewah dengan susu.

“Mereka tidak perlu bersaing, susu siapa paling banyak atau peti sejuk siapa yang penuh dulu. Sebaiknya, susukan bayi seperti biasa dan simpan stok mengikut keperluan si manja saja,” katanya.

Terdahulu akhbar ini pernah melaporkan sikap segelintir ibu yang bangga menayang gambar stok EBM di akaun peribadi media sosial. Trend baru itu dilihat secara tidak langsung mencipta persaingan negatif dalam kalangan ibu yang mudah berasa tercabar dan mula memenuhkan peti sejuk dengan stok EBM tanpa sebab munasabah.

Selain mengumpul stok EBM, ada lagi hal negatif berkait dengan penyusuan susu ibu yang perlu diperjelaskan. Kata Pembantu Pengurus Unit, Wad Bersalin Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Mas Anom Misdi, ramai ibu kini cenderung membuat pelbagai telahan sendiri bersandarkan mitos dan kepercayaan.

“Mereka mengabaikan banyak pandangan daripada pakar perubatan dan terus membanding-bandingkan setiap perkara berkaitan kaedah penyusuan mahupun perkembangan tumbesaran anak.

“Antara yang kerap didengar, ibu membandingkan saiz anak yang dibesarkan hasil penyusuan susu ibu. Perlu diketahui, tidak kira sama ada montel atau kurus bayi, yang penting dia sihat.

“Dalam penyusuan susu ibu, mencapai kenaikan berat yang tinggi memang susah. Dalam tempoh sebulan, anak yang menyusu secara eksklusif mungkin naik antara 400 ke 800 gram saja. Tidak mencecah sekilogram.

“Jadi, kalau hasil pemeriksaan bulanan di klinik mendapati bayi mencapai berat minimum 400 gram dan sihat, sepatutnya ibu gembira. Jangan susah hati dengan persoalan kenapa anak tidak naik sekilogram. Namun, jika ibu itu dapat menyusukan baik sehingga beratnya melebihi dari skala, mereka patut dihargai,” katanya.

Jelas Mas Anom, golongan ibu sepatutnya tahu bagaimana untuk menyokong penyusuan bayi secara semula jadi dan tidak terlalu bergantung kepada pengalaman orang lain.

“Misalnya, jangan sesekali tinggalkan rutin menyusu bayi pada sebelah malam. Kesilapan ini memang banyak dilakukan. Sebenarnya, penghasilan susu meningkat pada waktu malam. Bayi akan mendapat lebih nutrisi, susu yang pekat, mengenyangkan dan mungkin lebih banyak lemak untuk menyokong pertumbuhan serta kenaikan berat mereka.

“Jika berat bayi masih sama, pertimbangkan punca dan sebab lain. Lazimnya, faktor keturunan juga memainkan peranan. Apa yang penting, bayi sihat dan tumbesaran normal. Itu sudah memadai. Usah terpengaruh dengan sikap segelintir ibu zaman sekarang yang memang suka membanding-bandingkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 1:53 PM