MUHAMMAD Fahmie dan Malini bersama bayi mereka, Fateh.
MUHAMMAD Fahmie dan Malini bersama bayi mereka, Fateh.
MENYUSUKAN bayi sambil berbaring.
MENYUSUKAN bayi sambil berbaring.
DR Nurzarina menunjukkan cara memandikan bayi kepada Malini.
DR Nurzarina menunjukkan cara memandikan bayi kepada Malini.
Intan Mas Ayu Shahimi


Sesiapa pun pasti teruja saat isteri tercinta disahkan hamil bayi sulung. Terbayang ruang bilik yang dihias cantik, pakaian bayi, katil, meja menukar lampin, sofa menyusu serta kekalutan memenuhi segala keperluan orang baru.

Kalau boleh semua kelengkapan indah dan canggih hendak dibeli. Namun dalam keterujaan menyambut kelahiran bayi, ramai ibu bapa terlupa pentingnya membuat persediaan dari sudut mental.

Pengasas Gravidities, Dr Nurzarina Abdul Rahman berkata, pendedahan awal terhadap kaedah rangsangan bayi, penjagaan dan ilmu keibubapaan amat penting, terutama kepada ibu bapa muda atau mereka yang pertama kali mendapat zuriat.

Ia perlu dipelajari secara bersama dengan menghadiri kelas persediaan kelahiran (antenatal) lengkap dan bukannya bergantung sepenuhnya kepada petua lama atau carian Internet semata-mata.

“Dalam era serba canggih ini, memang tidak dinafikan semua maklumat boleh dicapai pantas di hujung jari. Namun dalam hal penjagaan bayi, ibu bapa digalak mendapatkan maklumat lebih tepat menerusi kelas antenatal lengkap,” katanya.

Menurut Dr Nurzarina, ilmu yang diperoleh sepanjang menghadiri kelas antenatal bukan saja berupaya meningkatkan tahap keyakinan ibu bapa dalam menguruskan bayi, tetapi turut membolehkan ibu melalui proses berpantang dengan tenang.

“Selalu kita lihat, tidak kira di mana-mana, bayi yang menangis akan terus dibawa ke pangkuan ibu untuk disusukan. Namun dalam sesetengah keadaan, bayi akan menolak dan terus menangis.

“Pada tahap ini, ibu bapa sepatutnya sedar tangisan ialah cara komunikasi pertama dikuasai bayi. Mereka menangis bukan saja kerana lapar, sebaliknya mungkin disebabkan mengantuk, tidak selesa, kegatalan, panas atau disebabkan kembung perut.

“Jadi jangan mudah panik jika bayi menangis, tetapi cuba amati bunyi tangisan mereka dan bezakan lima kategori bahasa bayi mengikut kaedah diperkenalkan Priscilla Dunstan menerusi Dunstan Baby Language,” katanya.

Bahasa bayi

Priscilla Dunstan ialah wanita bersuara mezzo-soprano berasal dari Australia. Dia memperkenalkan program Dunstan Baby Language (DBL) selepas menjalankan kajian mengenai tangisan bayi selama lapan tahun, bermula dari 1998.

Dalam tempoh berkenaan, lebih 1,000 bayi dengan lebih 30 jenis kerakyatan, latar belakang, keturunan dan bahasa ibunda dikaji, sebelum didapati bayi di seluruh dunia memang menghasilkan lima bunyi khusus dengan maksud yang sama.

Jelas Dr Nurzarina, dia sendiri teruja mempelajari bahasa bayi, namun tidak sempat mempraktikkan ilmu yang ada berikutan semua anaknya sudah besar. Bagaimanapun, dia berbangga apabila ibu bapa yang mendapatkan khidmat nasihatnya berkongsi pengalaman positif mengenai bayi masing-masing.

“Mengikut DBL, bahasa bayi terbahagi kepada lima bunyi iaitu neh, owh, eh, eairh dan heh. Neh ialah bahasa bayi yang bermaksud lapar. Kebiasaannya, bayi akan mengeluarkan bunyi ‘neh’ sambil menjilat bibir, menghisap jari atau menggerakkan kepala ke kiri atau kanan kerana minta disusukan.

“Bunyi ‘owh’ pula menunjukkan bayi mengantuk dan ia kerap disusuli perbuatan menguap, menggaru muka, menggeliat serta menarik cuping telinga. Manakala bunyi ‘eh’ membawa maksud bayi minta disendawakan,” katanya.

Dalam kelas bahasa bayi yang dijalankan, Dr Nurzarina memberitahu bunyi ‘eh’ terjadi disebabkan kontraksi pada bahagian dada untuk mengeluarkan angin menerusi mulut. Keadaan ini boleh dipastikan apabila bayi menggeliat ketika dibaringkan. Oleh itu, ibu bapa perlu membantu bayi melepaskan sendawa untuk mengelak rasa tidak selesa yang berpanjangan.

“Bayi juga mungkin mengeluarkan bunyi ‘eairh’ seperti meneran pada satu-satu masa disebabkan ketidakselesaan pada perut atau kembung. Pada ketika ini, bayi cenderung menangis dalam jangka waktu yang lebih lama jika tidak dilayan.

“Sementara bunyi ‘heh’ jelas menunjukkan bayi tidak selesa, sama ada kerana panas, gatal akibat ruam, lampinnya basah atau berasa sejuk,” katanya.

Tanggungjawab kepada bayi

Selain perlu mempelajari bahasa bayi, Dr Nurzarina turut menggalakkan ibu bapa muda menambah ilmu menerusi kelas ‘hypnobirthing’ dan penyusuan susu ibu. Menurutnya, bakal ibu bapa tidak seharusnya menjadikan alasan sibuk bekerja dan mengabaikan keperluan semasa, sehingga bayi dilahirkan.

“Saya melihat penyusuan susu ibu adalah subjek utama yang perlu dikuasai sebelum dan selepas bayi dilahirkan. Kebiasaannya, ilmu penyusuan memang diajar di kelas antenatal di hospital. Namun, berapa ramai antara ibu muda hari ini yang dapat menguasainya dengan baik?

“Kelas ini pada asasnya perlu diberi secara perseorangan kerana setiap wanita berdepan masalah dan situasi berlainan di setiap kelahiran. Penting untuk ibu bapa memahami bahasa bayi bagi mendapatkan pengalaman menyusu yang lancar.

“Umpamanya, bayi perlu dipastikan menyusu dengan betul dan selesa. Kedudukan bayi yang salah bukan saja menyukarkan lekapan bibir bayi di bahagian areola payudara, tetapi berisiko menyebabkan rekahan atau luka di bahagian puting.

“Oleh itu, posisi yang betul apabila bayi rapat ke dada, bahagian depan tubuh bayi melekap di depan ibu dan disokong pegangan yang selesa serta yakin,” katanya.

Kata Dr Nurzarina, perasaan ibu ketika menyusukan bayi turut memainkan peranan penting dalam melancarkan proses penyusuan. Ini kerana bayi boleh berasa perbezaan ketika ibunya dalam keadaan tertekan mahupun tidak yakin.

“Begitu juga halnya jika bayi menangis dalam jangka waktu yang panjang. Seandainya kelima-lima keperluan neh, owh, eh, eairh dan heh sudah dipenuhi, bayi berkemungkinan menangis untuk menunjukkan emosinya.

“Jangan sesekali membiarkan bayi menangis dalam jangka masa panjang tanpa dipujuk. Dalam situasi ini, bayi perlu didakap rapat ke tubuh si ibu untuk menenangkan dirinya. Ini tanda bayi memerlukan kasih sayang, perhatian dan mahu usapan manja ibu bapanya.

“Usah dengar mitos mengatakan bayi akan menjadi terlebih manja jika kerap dipegang atau dipangku kerana fitrah bayi itu sendiri memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada ibunya sendiri.

“Amat malang jika keperluan ini diabaikan kerana bayi mungkin membesar sebagai seorang yang penakut dan tidak yakin kepada dirinya sendiri,” katanya yang menawarkan khidmat rundingan menerusi laman web www.gravidities.wix.com/consultancy.

Pengalaman berharga

Sekalipun banyak menuntut ilmu menerusi carian di Internet, Muhammad Fahmie Abu Samah, 31, dan isteri, Malini Suhaibah Ahmad Taufik, 25, mengakui masih skeptikal dengan pelbagai idea, tip dan penerangan yang diperoleh daripada sumber tidak diketahui.

Kebetulan selesai pemeriksaan kandungan Malini di Sri Rampai, Setapak, Muhammad Fahmie ternampak iklan kelas hypnobirthing Gravidities yang dijalankan Dr Nurzarina.

“Saya fikir, sebagai ibu bapa baru, kami perlu mendapatkan ilmu yang betul. Malah kelas sebegini adalah jenis pelaburan jangka panjang yang bukan saja ilmunya boleh dimanfaatkan untuk anak sulung kami, tetapi boleh diguna pakai bagi kelahiran seterusnya.

“Kami bermula dengan hypnobirthing. Apa yang menarik, Dr Nurzarina tidak sama seperti doktor lain yang pernah kami temui. Dia bukan saja komited mengajar dan berkongsi pengetahuan, tapi turut hadir memberi sokongan ketika Malini hendak melahirkan bayi,” katanya.

Menurut Muhammad Fahmie, terlalu banyak perkara baru dipelajari sepanjang mengikuti program Gravidities hinggakan dia dan isteri teruja mengikuti kelas bahasa bayi DBL dan urutan bayi.

“Saya seronok kerana dapat berkongsi pengalaman dan ilmu dengan rakan di Facebook. Ternyata kesedaran masyarakat kita terhadap bahasa bayi dan hypnobirthing ini masih kurang,” katanya.

Bagi Malini, dia sendiri lega kerana dapat melalui proses bersalin dengan baik dan menguruskan bayi sepanjang tempoh berpantang dengan tenang.

“Minggu pertama saya begitu fokus mempelajari bahasa bayi. Berbanding bunyi ‘neh’, Fateh kerap mengeluarkan bunyi ‘eh’. Rupa-rupanya itulah bahasa Fateh meminta supaya disusukan. Momen itu akhirnya meletuskan ketawa lucu buat kami suami isteri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 5:04 AM