Intan Mas Ayu Shahimi

Buat mereka yang berdepan kerjaya mencabar, aktif melakukan sukan lasak atau kerap mengikuti ekspedisi mendaki gunung, memiliki jam tangan pintar mungkin bukan lagi sebahagian daripada pelengkap gaya, tetapi sudah menjadi barang wajib ada.

Ini kerana jam tangan pintar lebih banyak membantu dalam memastikan aktiviti harian, pengembaraan dan aspek kesihatan dipantau rapi mengikut lokasi, masa dan perubahan risiko tertentu.

Dikenali dengan seni ketukangan premiumnya yang sentiasa menampilkan perhiasan pergelangan tangan anggun, mewah dan kemas, Garmin memperkenalkan siri fenix 5 Plus.

Siri baru yang dikemaskini daripada koleksi terdahulu ini menonjolkan banyak elemen luar jangka, sofistikated dan sempurna untuk kehidupan peribadi sesiapa saja.

Dari sudut rekaan, jam ini tampak jauh lebih bergaya dan mewah dengan pelbagai ciri khusus termasuk pengesanan Pulse Ox untuk mengukur aras tepu oksigen dalam darah. Fungsi ini cukup penting bagi individu yang aktif mendaki gunung kerana berupaya membantu mereka kekal selamat ketika menyesuaikan diri di altitud tinggi.

Untuk pendakian mencabar, pengguna boleh berhenti untuk menganalisa bacaan tubuh, sekali gus menilai sejauh mana mereka mampu untuk menyesuaikan diri dengan tahap oksigen semakin menipis.

Pengarah Urusan AECO Technologies (M) Sdn Bhd Ong Chang Seng berkata, pihaknya tidak sekadar merangka dan menjual produk, tetapi turut menimbang faktor gaya hidup masa kini.

“Koleksi ini menandakan kejayaan baru Garmin dalam meraikan kelahiran generasi terkini daripada siri Fenix. Ia adalah ciptaan yang memaparkan fungsi dan kecanggihan inovatif, menepati corak serta gaya hidup pelanggan. Kami percaya, pasti ramai teruja dengan ciri baru yang ditambah pada siri ini,” katanya.

Melihat sendiri fungsi luar biasa fenix 5 Plus, jam tangan ini menggabungkan prestasi bertaraf dunia dengan ciri kecergasan terbaik, merangkumi fungsi gaya hidup dan aktiviti luar.

Pemakaian jam tangan pintar ini boleh disesuaikan pelbagai jenis sukan utama. Ia juga memiliki peta topografi yang boleh ditadbir, storan penyimpanan fail muzik serta fungsi analisa Pulse Oximeter.

Siri premium ini hadir dengan variasi saiz antara 42 hingga 51 milimeter (mm), paparan cahaya yang gah dan kebolehbacaan di bawah matahari.

Pameran eksklusifnya baru-baru ini mengumpulkan nama ikonik dalam sukan, kecergasan dan gaya hidup antaranya duta jenama Garmin Malaysia, Sharifah Sakinah; pemain bola sepak kelab Johor Darul Takzim, Izham Tarmizi; personaliti kecergasan, Kevin Zahri dan Miss Universe Malaysia 2018, Jane Teoh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 12:29 AM