BELAJAR membaca al-Quran bersama-sama jiran terdekat.
BELAJAR membaca al-Quran bersama-sama jiran terdekat.
Siti Nadirah Hafidzin

Betapa indahnya perasaan tatkala mendalami dan mempelajari al-Quran, nikmat yang tersembunyi tidak mampu diluahkan dengan kata-kata terutama ketika mengalunkan ayat suci itu.

Islam juga amat menuntut umatnya membaca dan mendalami al-Quran tanpa meletakkan sebarang syarat serta had usia. Bak kata pepatah, ‘selagi ada kemahuan, di situ ada jalan’.

Hakikatnya tidak semua individu dapat membendung perasaan malu untuk mempelajari al-Quran terutama apabila usia semakin meningkat. Mungkin ada kemahuan di dalam hati namun rasa malu kepada individu di sekeliling membantutkan niat.

Selain malu, golongan yang agak berusia ini kebiasaannya sukar mencari lokasi sesuai untuk proses pembelajaran menyebabkan hasrat belajar bertambah payah hendak direalisasikan.

Alangkah seronoknya jika dapat belajar membaca al-Quran bersama-sama individu terdekat seperti rakan, ahli keluarga atau jiran tetangga bagi merebut pahala akhirat.

Keseronokan ini jelas terpamer pada wajah ‘pelajar’ yang tiap hari tanpa jemu menghadiri kelas membaca al-Quran, di satu lorong di Jalan Telok Gadong Kecil, Klang, Selangor.

Meskipun usia kebanyakannya sudah melebihi separuh abad, pelajar wanita ini tekun memperbaiki bacaan masing-masing, langsung tidak berasa segan dengan ‘rakan sekelas’ yang jauh lebih muda dan menunjukkan prestasi lebih baik.

Tanpa sedar mereka menunjukkan semangat yang membanggakan. Tidak kira berapa pun usia dan siapa pun kita, semangat untuk belajar al-Quran perlu ada, selagi hayat dikandung badan.

Ada yang berstatus warga emas, suri rumah, wanita bekerjaya juga remaja berusia belasan tahun, masing-masing berusaha mendalami ilmu agama tanpa rasa malu dengan belajar mengaji dibimbing seorang guru agama yang juga tinggal di situ.

Memilih untuk belajar mengaji bersama jiran terdekat, Misruki Saru, 62, berkata, dia buang perasaan malu demi memastikan dirinya dapat mempelajari al-Quran.

“Dulu ada juga rasa malu tetapi apabila fikir balik, sampai bila hendak kekalkan rasa malu itu sedangkan saya sedar mengaji ini antara kewajipan sebagai umat Islam. Atas sebab itu juga saya tekad untuk belajar membaca ayat suci al-Quran walaupun dalam keadaan ‘merangkak-rangkak’ pada mulanya.

“Anak semua sudah dewasa, cucu juga semakin membesar dan saya tidak banyak kerja yang perlu dilakukan di rumah. Saya gunakan masa terluang yang ada untuk mendalami ilmu agama dan belajar mengaji,” katanya.

MISRUKI (kanan) bersyukur ada jiran sanggup mengajar mengaji.
MISRUKI (kanan) bersyukur ada jiran sanggup mengajar mengaji.

Menurut Misruki yang juga anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor, dia amat bersyukur kerana seorang jiran terdekat sanggup mengajarnya mengaji tanpa mengenakan bayaran. Kesanggupan itu menunjukkan kesediaan guru kesayangannya yang jelas mahu lebih ramai wanita khususnya yang sudah berusia untuk boleh membaca al-Quran dengan baik.

“Seronok rasanya kerana saya tidak perlu keluar jauh dan berjalan ke rumah ustazah yang kami panggil Cik Ilah. Sepanjang Ramadan ini, setiap pagi kami bertadarus bersama-sama dan pada sebelah malam menunaikan solat Tarawih di sebuah bilik kecil di lorong ini yang kami jadikan sebagai surau untuk wanita.

“Di sini, hubungan sesama jiran tetangga seperti adik-beradik dan disebabkan itu juga saya tidak rasa malu malah bersemangat untuk terus belajar mengaji.

“Saya akui sebelum ini tidak berapa pandai mengaji namun kini bersyukur kerana banyak yang saya pelajari. Lebih dua tahun saya belajar bersama Cik Ilah dan gembira dengan pencapaian kini,” ujarnya.

Katanya, usahanya untuk belajar mengaji itu juga sebagai bekal akhirat dan pada masa sama merapatkan silaturahim sesama jiran tetangga yang menjadi rakan sekelas.

Seronok belajar mengaji

Bagi suri rumah, Kamsiah Dollah, 58, selain belajar membaca ayat suci al-Quran, dia juga dapat menambah ilmu agamanya.

“Selain belajar mengaji, saya dan rakan juga belajar ilmu tajwid, hukum bacaan, pengetahuan mengenai pelbagai perkara yang membuatkan saya seronok dan teruja menanti tibanya waktu mengaji.

“Waktu kami belajar tidak terhad tetapi memandangkan Cik Ilah mengajar di sekolah dan agak sibuk pada waktu siang, kami memilih datang ke rumahnya pada sebelah malam iaitu pada Isnin dan Selasa. Syukur dia tidak keberatan menjadikan ruang tamu rumahnya sebagai kelas dan sentiasa menanti kehadiran kami. Setiap malam Jumaat pula kami mengadakan bacaan Yaasin dan tahlil bersama-sama,” katanya.

Kamsiah berkata, selain ilmu, mempelajari dan mendalami ilmu agama dan membaca ayat suci al-Quran ini memberi satu ketenangan yang sukar digambarkan pada dirinya.

“Lebih banyak saya dekatkan diri dengan al-Quran menjadikan saya lebih tenang dan urusan hidup dipermudahkan. Pada usia begini, apa lagi yang saya mahukan. Tiga anak sudah dewasa dan ini memberi peluang kepada saya dan suami mendekatkan diri kepada-Nya.

“Syukur, proses kami belajar juga mudah dan saya berharap bacaan saya akan semakin baik dari hari ke hari,” ujarnya.

KAMSIAH (kanan) membaca al-Quran sambil didengari Fadilah.
KAMSIAH (kanan) membaca al-Quran sambil didengari Fadilah.

Sementara itu, bagi Nur Hana Erica Abdul Muizz Daniels, 15, walaupun berada dalam kelas yang kebanyakannya terdiri daripada ‘golongan nenek’, ia tidak menjadi penghalang kepadanya untuk belajar mengaji dan mengikuti kebanyakan program agama yang dijalankan di situ.

“Saya sedikit pun tidak rasa malu atau janggal, sebaliknya seronok kerana dapat belajar mengaji bersama-sama jiran terdekat. Mama sering mengingatkan supaya rajin belajar tidak kiralah ilmu akademik atau ilmu agama untuk kebaikan diri sendiri pada masa akan datang.

“Saya datang belajar mengaji bersama mama, saya juga sentiasa pegang nasihatnya supaya pandai dan lancar mengaji sejak kecil lagi. Kini, walaupun boleh mengaji namun saya tetap datang belajar untuk memperbetulkan bacaan terutama daripada segi tajwid,” katanya.

Kongsi ilmu dan sayangi jiran tetangga

Bagi Fadilah Hashim, 55, yang juga guru mengaji di lorong itu, dia berusaha memastikan setiap wanita di lorong rumahnya dapat membaca al-Quran walaupun tidak lancar.

“Bagi mereka yang baru belajar mengaji pastinya perlu ambil masa untuk dapat membaca dengan lancar. Saya sentiasa beri mereka semangat dan yakinkan semua individu boleh mengaji dengan baik asalkan ada kemahuan serta mahu belajar.

“Saya kagum melihat kesungguhan mereka kerana pada usia begini, masing-masing cukup bersemangat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk belajar. Sebagai guru, tentu saja saya mahukan yang terbaik. Oleh itu, saya sering ingatkan supaya belajar secara berterusan dan insya-Allah mereka akan dapat mengaji dengan baik suatu hari nanti,” katanya.

Menurutnya, perbincangan akan dilakukan terlebih dulu bagi menentukan masa dan waktu sesuai kerana kadang kala dia mempunyai urusan keluarga.

“Jika tiada urusan, mereka akan datang ke rumah saya pada waktu malam kebiasaannya pada Isnin dan Selasa namun ada kalanya waktu berubah mengikut kesesuaian semua.

“Untuk Ramadan ini, kami mengadakan sesi tadarus al-Quran pada sebelah pagi bermula jam 8 pagi. Alhamdulillah, kami sudah khatam al-Quran pada 13 Ramadan lalu,” ujarnya.

 PERLU belajar membaca al-Quran tanpa mengira usia.
PERLU belajar membaca al-Quran tanpa mengira usia.

Katanya, ada juga di antara jiran yang menzahirkan rasa malu untuk belajar mengaji dan dia berusaha menasihati supaya perasaan itu dipadamkan.

“Sebab itu saya katakan, saya bangga dengan jiran yang belajar mengaji ini terutama bagi mereka yang sudah berusia kerana tidak semua individu mampu lakukannya.

“Selagi saya diberikan kesihatan dan kesempatan, saya akan membantu mereka yang mahu belajar kerana dalam masa sama ia juga secara tidak langsung menambah baik bacaan diri saya sendiri.

“Apabila kita mengajar, kita perlu meneliti setiap ayat juga baris dan dengan cara itu, saya dapat memastikan bacaan saya sendiri semakin baik hari demi hari,” ujarnya.

Fadilah berkata, dia juga menyayangi semua muridnya dan disebabkan itu dia mahu setiap orang dapat membaca al-Quran dengan baik untuk saham akhirat kelak.

“Kami di sini ibarat adik-beradik kerana bagi saya jiran banyak peranannya dalam kehidupan. Tatkala ditimpa musibah, jiranlah antara individu terawal yang datang membantu.

“Atas sebab kasih sayang juga saya akan terus memberikan khidmat ini supaya kami sama-sama dengan melakukan perkara yang memberi manfaat,” katanya.

BERGAMBAR kenangan bersama-sama selepas selesai khatam al-Quran, Selasa minggu lalu.
BERGAMBAR kenangan bersama-sama selepas selesai khatam al-Quran, Selasa minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 12:20 PM