KEMERIAHAN waktu berbuka.
KEMERIAHAN waktu berbuka.
Intan Mas Ayu Shahimi


Kerap kali orang menyebut Ramadan bulan mulia dan penuh rahmat, juga menjadi saat terbaik berkongsi nikmat rezeki dengan golongan memerlukan serta paling utama, ia penuh keberkatan.

Tibanya Ramadan, ramai yang berlumba-lumba membuat amal kebajikan. Mungkin ada yang menempelak, mengapa perlu menanti bulan puasa untuk melakukan kebaikan, memberi dan menyumbang itu dan ini. Semuanya kerana ganjaran pahala sepanjang Ramadan.

Tambahan, inilah waktu paling ideal untuk seluruh umat Islam bersatu hati, bersama-sama mengurangkan jurang yang memisahkan golongan kaya dan miskin.

Terlaksana dalam kesederhanaan, santai, diiringi hujan renyai, Sedulurteam terus mewarnai Ramadan bersama Orang Asli Rening di Cameron Highlands, Pahang, 19 Mei lalu.

Melunaskan kelas bulanan bersama saudara baru dan menyantuni jiwa masyarakat Orang Asli, perjalanan dua hari itu mencoret banyak kenangan manis yang cukup mengujakan.

Pengasas Sedulurteam, Nikarman Nikman berkata, ziarah selamat datang menjadi pembuka acara untuk menyatakan kehadirannya bersama 15 sukarelawan ke lokasi berkenaan bulan ini.

Selain mengindahkan Ramadan, rombongan itu juga datang untuk mengingatkan saudara baru Islam terhadap kewajipan mengerjakan ibadah puasa dan memperlihatkan bagaimana praktikal Islam pada bulan mulia ini.

“Kami adakan solat Zuhur berjemaah bersama saudara baru (mualaf Orang Asli) dan kelas fardu ain yang pertama. Penegasan mengenai puasa dan perjalanan ibadah ini turut diterangkan secara khusus kepada mereka yang hadir ke kelas.

“Kemudian barulah gotong-royong memasak untuk berbuka puasa dijalankan bersama dengan sukarelawan. Turut membantu kami menyediakan peralatan memasak tambahan adalah anggota tabligh dari Jerantut, Pahang,” katanya.

Jelas Nikarman, penyediaan juadah berbuka yang dirancang adalah ayam masak lemak, sambal bilis kentang, telur dadar, kuih ondeh-ondeh, tembikai dan sirap lemon.

“Menu ini sengaja dipilih untuk menyajikan kelainan rasa buat mereka. Memandangkan cuaca hujan, jadi kami semua berbuka puasa seadanya bersama penduduk kampung.

“Selesai berbuka, kami adakan solat berjemaah dan Tarawih bagi menghidupkan malam Ramadan di Rening. Usai Tarawih, kelas kedua pula dijalankan secara santai,” katanya.

Seawal jam 3 pagi, Nikarman berkata, sukarelawan mula sibuk kembali menyediakan hidangan untuk bersahur.

“Kami lakukan kejut sahur dari pintu ke pintu supaya tidak ada yang terlepas daripada mengerjakan amalan sunat yang digalakkan ini. Alhamdulillah, selesai sahur, kami dapat solat Subuh berjemaah.

“Pada ziarah akhir hari kedua, barulah kami mengagihkan kampit beras, kurma dan jadual berbuka puasa kiriman orang ramai setiap rumah di Rening.

“Biarpun ziarah ini singkat, namun kami dihantar pulang dengan senyuman. Kami berterima kasih kepada individu atau kumpulan yang menyumbang kepada Sedulurteam. Kami akan terus melakukan ziarah ke perkampungan Orang Asli sepanjang bulan ini dan berharap kunjungan itu nanti membawa seribu rahmat buat semua yang terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 9:36 AM