FOTO Nik Abdullah Nik Omar
FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


SERATUS dua puluh dua mualaf dihimpunkan dalam majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Kelantan, di Kota Bharu, Sabtu.

Pengerusi MACMA Kelantan, Johari Yap, berkata majlis berbuka puasa itu dijadikan aktiviti tahunan setiap kali Ramadan untuk mengeratkan silaturahim dan saling mengenali antara satu dengan lain.

Katanya, mualaf yang datang berasal daripada pelbagai keturunan, bangsa, budaya, negara, warna kulit, anutan kepercayaan dan amalan yang berhimpun sebagai satu keluarga besar saudara baru.

FOTO Nik Abdullah Nik Omar
FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Bagi memantapkan lagi akidah dan iman, sebelum berbuka puasa wakil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK), Ustaz Mohd Taufik Tee Abdullah menyampaikan tazkirah selama 45 minit.

"Selepas majlis berbuka, kami menunaikan solat Maghrib secara berjemaah," katanya ketika ditemui selepas Sinar Ramadan bersama MACMA Kelantan, di pejabatnya.

Terdahulu Penasihat MACMA Kelantan, Abdul Halim Chua Abdullah menyampaikan zakat kepada mualaf yang hadir.

Johari berkata, sehingga ini, lebih 300 mualaf di Kelantan berdaftar dengan pertubuhan itu sejak 1996.

"Dalam setahun, kami menerima sekurang-kurangnya 20 saudara baru yang memeluk Islam.

"Bagi memastikan mereka benar-benar mendalami Islam, MACMA turut mengadakan kelas bimbingan al-Quran, ceramah, motivasi mengenai keindahan Islam supaya mereka kekal bersama kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:24 AM