Nor Faizah Mohamed

Majoriti tahu dan sedia maklum mengenai kelebihan berpuasa pada diri. Berpuasa bukan saja memberi faedah kepada fizikal malah menjana kesihatan mental yang lebih baik.

Puasa yang betul akan membantu kita menurunkan berat badan. Puasa juga membantu sistem pencernaan untuk penghadaman lebih sempurna dengan memberi tempoh rehat kepada usus.

Malah beberapa kajian mendapati puasa boleh membantu mengawal tekanan atau stres dengan memberi ketenangan psikologi, sekali gus membuatkan seseorang itu belajar bersyukur dan bersabar.

Tidak dinafikan berpuasa dapat membantu mengawal masalah kolesterol berlebihan. Kajian pakar jantung di Asia Barat mendapati paras kolesterol dalam darah menjadi lebih baik ketika Ramadan dengan peningkatan paras kolesterol baik HDL dan penurunan paras kolesterol LDL. Ini memberikan kesan positif kepada kesihatan jantung.

Bagaimanapun, ramai yang kurang prihatin mengenai persiapan diri kala berpuasa. Berpuasa selama 13 hingga 14 jam sehari di tanah air menjadi kebiasaan sejak kecil tetapi pola itu berubah apabila perlu berpuasa di luar negara.

Di negara yang mengalami empat musim, Ramadan biasanya hadir ketika musim panas (musim sejuk di Australia). Disebabkan faktor musim yang berubah, seseorang itu perlu berpuasa melebihi kebiasaan yang dilakukannya di Malaysia.

Satu atau dua jam melebihi masa berpuasa di Malaysia mungkin tiada masalah bagi yang baru mengalami tetapi ia pasti memberi kejutan kepada tubuh apabila perlu berpuasa sekurang-kurangnya 19 jam.

Di sinilah perlunya persiapan dilakukan pada diri agar diri tidak begitu terkejut dengan perubahan itu.

Menurut Presiden Persatuan Dietitian Malaysia (MDA), Profesor Dr Winnie Chee Siew Swee, beberapa perubahan akan berlaku apabila diri perlu berpuasa dalam tempoh panjang seperti itu.

“Apabila individu yang sihat perlu berpuasa lebih lama berbanding biasa, pola tidur terlebih dulu berubah diikuti kitaran lapar-kenyang dan peningkatan tahap glukosa dalam darah.

“Pola tidur berubah apabila seseorang perlu bangun lebih awal daripada biasa untuk bersahur dan tidur semula sebelum bangun beberapa jam selepas itu.

“Keadaan ini membuatkan diri cepat berasa penat dan tidak bertenaga sepanjang hari walaupun mengambil kuantiti makanan yang banyak ketika bersahur.

“Untuk membiasakan diri dengan keadaan itu, cuba tidur awal atau tidur selepas solat Tarawih,” katanya.

Kitaran lapar-kenyang pula berlaku disebabkan masa yang berubah, dengan jarak panjang di antara masa makan utama contohnya sarapan atau sahur dengan makan tengah hari.

“Keadaan ini memberi manfaat kepada mereka yang berusaha menurunkan berat badan tetapi situasi sebaliknya berlaku apabila makan secara berlebihan ketika berbuka puasa atau mengambil kudapan sebelum tidur.

“Apa yang penting ialah aspek bersederhana dan kenal pasti keperluan tubuh. Makan secara berlebihan ketika iftar dan di antara masa tidur memang tidak digalakkan,” tambahnya.

Bagi individu yang sihat dan tiada masalah kesihatan serius, peningkatan paras glukosa dalam darah selepas makan akan merangsang rembesan insulin, yang mencetuskan penyimpanan glukosa dalam hati dan otot yang dikenali sebagai glikogen.

“Ketika berpuasa, terdapat pecahan penyimpanan glukosa dalam badan untuk memastikan glukosa yang cukup dibekalkan ke otak. Kemudian apabila berbuka, had penyimpanan ini akan bertambah. Jadi, kajian menunjukkan dari semasa ke semasa badan boleh menyesuaikan diri dengan kitaran ini dan mengekalkan tahap glukosa yang normal di dalam darah.

“Kajian menunjukkan badan juga berupaya menyesuaikan diri dengan kitaran ini lalu mengekalkan tahap glukosa normal dalam darah.

“Jadi, dari segi pengambilan makanan, penting untuk mengambil makanan yang seimbang ketika bersahur untuk mengekalkan simpanan tenaga ketika berpuasa pada waktu siang.

“Kemudian makan dalam jumlah sederhana dan seimbang ketika iftar. Kita tidak seharusnya terlebih makan selepas majlis berbuka puasa jika ingin mengekalkan imbangan tenaga itu.

“Culas bersahur dengan alasan mengantuk dan tidak lapar juga amalan yang tidak sihat. Pada masa sama, jangan makan banyak ketika berbuka,” katanya.

Antara oral dan suntikan

Secara umumnya, berpuasa memberi kebaikan pada tubuh. Bagaimanapun, ada sesetengah yang sukar berpuasa atas faktor kesihatan dan ada langkah alternatif untuk mereka, menurut pengamal perubatan merangkap jurulatih kecergasan, Dr Shamsul Anuar Aliash.

“Langkah alternatif bagi mereka yang susah berpuasa bergantung kepada keadaan setiap individu. Gabungan tenaga dan usaha di antara pesakit, pakar perubatan serta pakar diet amatlah penting untuk memastikan individu ini dapat berpuasa dengan baik.

“Dari segi pemakanan, pesakit diabetes perlu melambatkan sahur dan mempercepatkan berbuka puasa dengan mengambil makanan tinggi serat seperti bijirin, beras perang, sayuran, buah dan makanan yang rendah kadar indeks glisemik. Bantuan daripada pakar diet untuk pola pemakanan juga amat penting untuk golongan ini.

“Untuk mereka yang mempunyai masalah perut dan usus seperti gastrik atau masalah kandungan asid yang tinggi, disarankan juga untuk melewatkan sahur, selain mengelak makanan bergoreng, terlampau pedas, berlemak, buah-buahan sitrus, makanan bertin atau yang diproses seperti makanan segera.

“Yang penting, setiap individu perlu tahu dan ambil peduli dengan tahap penyakit yang dihadapi serta sentiasa dapatkan nasihat pakar perubatan sebelum ingin berpuasa seperti individu normal,” katanya.

Sementara itu, ada sebilangan kecil pesakit yang menganggap pengambilan ubat secara oral boleh digantikan dengan suntikan. Selain mudah, golongan ini berasakan kaedah itu lebih sesuai untuk mereka berpuasa seperti biasa berikutan tidak perlu mengambil ubat mengikut masa yang ditetapkan.

“Ia sama sekali tidak disarankan. Ubat oral dan ubat suntikan mempunyai tahap keberkesanan berbeza, malah boleh membahayakan kesihatan jika tidak dipantau pakar perubatan.

“Jika dibenarkan oleh pakar perubatan, jangan cuba mengubah dos atas alasan ingin berpuasa seperti individu normal,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 5:02 AM