USAHA gigih lebih 20 tahun berbaloi dengan pencapaiannya kini.
USAHA gigih lebih 20 tahun berbaloi dengan pencapaiannya kini.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Pepatah keramat ini pasti sinonim dengan individu yang meniti jerih perih sebelum mampu tersenyum bangga melihat satu demi satu impian tercapai berkat usaha gigih mereka.

Begitu juga dengan figura ini yang menjadi contoh terbaik buat wanita khususnya bahawa menjadi pekerja bawahan tidak semestinya menjanjikan kerjaya mereka berakhir di takuk sama.

Sebaliknya jika ada kesungguhan, tidak mustahil suatu hari nanti mereka mampu memegang posisi tertinggi dalam bidang berkaitan. Bidang perkemasan di hotel misalnya, pasti bukan antara kerjaya impian yang diidamkan rata-rata anak muda.

Sebut saja bidang ini, perkara pertama yang mungkin terlintas di fikiran sesiapa saja ialah ia sekadar tugasan mengemas bilik, menukar cadar dan selimut serta memastikan keselesaan sempurna buat tetamu yang menginap.

Hakikatnya, skop kerjaya perkemasan lebih daripada itu, malah ia antara kerjaya yang menjanjikan posisi yang baik membabitkan pengurusan andai sabar dan cekal menghadapi dugaannya.

Seperti apa yang dilalui wanita ini, permulaan sebagai kakitangan perkemasan bawahan tidak membuatkannya putus asa untuk berusaha meningkatkan diri.

Kini, Zunaidah Mat Daud, 42, boleh berbangga dengan jawatannya selaku Eksekutif Perkemasan di Hotel Hilton, Petaling Jaya, yang diperolehnya hasil jerih- perih lebih dua dekad dalam bidang itu.

“Saya percaya pada usaha berterusan, sikap tidak mengeluh dan yakin kemampuan diri. Setiap halangan atau dugaan yang menimpa sepatutnya dijadikan cabaran agar dapat memperbaiki diri.

“Bagaimanapun, generasi hari ini saya lihat tidak ramai yang benar-benar komited menyahut cabaran dalam bidang yang diceburi. Ini belum termasuk mereka yang terlalu memilih pekerjaan atas alasan tidak sesuai dengan diri apatah lagi mahu bermula dari bawah,” katanya.

Jadi tukang cuci

Mengimbau semula perjalanan kehidupannya, wanita ini sama seperti yang lain. Dilahirkan di Muar, Johor dia kemudian berhijrah ke Kuala Lumpur sebaik tamat tingkatan lima.

Ketika itu, niat untuk menyambung pelajaran terpaksa dikuburkan kerana keluarganya kurang berkemampuan dan dia memilih bekerja bagi menyara diri dan keluarga.

“Ramai rakan yang berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi, tetapi saya memilih bekerja kerana sasaran ketika itu ialah membantu keluarga.

“Biarpun berjauhan daripada keluarga dalam usia belasan tahun untuk berdikari, saya tidak bimbang dengan keputusan itu. Pekerjaan pertama saya ketika itu sebagai tukang cuci di hotel terkenal di ibu kota,” katanya.

ZUNAIDAH memantau kakitangan menjalankan tugas.
ZUNAIDAH memantau kakitangan menjalankan tugas.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata ini, ketika awal kerjayanya itu sekali pun dia tidak pernah berasa malu malah sentiasa cuba melaksanakan tugas dengan tekun dan amanah.

Malah, tidak pernah sekalipun pernah terlintas di fikirannya mampu menjawat jawatan tinggi atau bergaji besar kerana kelayakan pendidikan yang tidak seberapa.

Namun, benarlah kata orang rezeki tidak pernah salah alamat. Usaha berterusan tanpa jemu selain sikapnya yang gemar mencuba perkara baru akhirnya berbaloi apabila tahun demi tahun kerjayanya semakin berkembang.

“Semasa bekerja sebagai tukang cuci, saya juga mencari pengalaman di bahagian perkemasan.

“Tidak lama selepas itu saya berkhidmat di beberapa hotel lain dengan pelbagai tugasan berbeza antaranya di bahagian linen dan seragam serta pembantu bilik.

“Saya berkahwin pada usia muda iaitu 20 tahun, tetapi itu tidak menjadi halangan untuk terus berkhidmat. Saya juga sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan diri,” katanya.

“Alhamdulillah, berbekalkan pengalaman yang ada saya ditawarkan bekerja di Hotel Hilton, Seremban sebagai penyelia bilik dan selepas itu di beberapa hotel lain hinggalah tanpa disangka pengalaman selama berbelas tahun membuka peluang untuk memasuki peringkat pengurusan,” katanya.

DISENANGI kakitangan.
DISENANGI kakitangan.

Puas lihat bilik kemas

Menurutnya, sejak dulu hingga kini dia melihat tidak ramai golongan muda yang ingin terbabit dalam bidang itu kerana terlalu skeptikal mengenai skop pekerjaannya.

Namun baginya, ia satu kepuasan apabila dapat melihat hasil usahanya sama ada selepas bilik cantik dikemas atau senyuman dan ucapan terima kasih daripada tetamu yang menginap bilik itu.

Pada masa sama katanya, dia mula sedar bidang kerja ini juga dapat menawarkan jawatan tinggi di peringkat pengurusan.

“Maknanya, tidak selama-lamanya kita hanya menjadi tukang kemas (housekeeper), tetapi boleh dinaik taraf hingga ke posisi eksekutif dan pengarah unit perkemasan.

“Perkara inilah yang jarang diketahui orang lain hinggakan mereka melihat pekerjaan perkemasan ini sesuatu yang remeh dan kurang popular,” ujarnya.

Zunaidah berkata, meskipun pengalamannya dalam perhotelan begitu meluas, namun ada sesuatu yang masih ingin dicapainya, iaitu menggenggam segulung sijil dalam pengajian tinggi.

USAHA gigih Zunaidah berbaloi apabila berjaya mendapat diploma.
USAHA gigih Zunaidah berbaloi apabila berjaya mendapat diploma.

Oleh itu, pada 2012 dia mengambil keputusan melanjutkan pengajian di peringkat diploma dalam pengurusan hotel selama setahun.

“Ini adalah satu pencapaian yang manis dalam hidup saya selain peningkatan kerjaya. Alhamdulillah, saya laluinya dengan penuh kesabaran.

“Tahun lalu, saya kembali ke Kuala Lumpur untuk menggalas tugas sebagai Eksekutif Perkemasan di hotel ini selepas menjawat jawatan sama di DoubleTree by Hilton, Melaka,” katanya.

Kerjaya, keluarga sama utama

Zunaidah berkata, dia cukup bertuah bernaung di bawah hotel antarabangsa itu kerana banyak menawarkan peluang peningkatan kerjaya dan membentuk dirinya sekarang.

Katanya, sebagai wanita mereka memiliki peluang sama rata untuk berkembang malah pelbagai program kepemimpinan dianjurkan untuk golongan itu meningkatkan kerjaya.

Di jabatannya sendiri, katanya, mereka memastikan wanita berkemampuan memimpin dan menjadi ketua di samping menggalakkan keseimbangan antara kerjaya dan keluarga untuk membentuk tenaga kerja yang produktif.

ZUNAIDAH merancang percutian keluarga dari awal.
ZUNAIDAH merancang percutian keluarga dari awal.

“Misalnya di Melaka, dalam jabatan perkemasan, pekerja wanita berkeluarga diberi peluang untuk bekerja dalam jadual lebih fleksibel.

“Ramai wanita bergelar ibu yang mahu bekerja untuk menambah pendapatan tapi terhalang disebabkan kekangan masa antara menguruskan keluarga dan bekerja.

“Sebab itu ramai kakitangan diberi peluang pekerjaan perkemasan pada waktu puncak dan dibayar mengikut jam agar mereka berkesempatan menguruskan rumah tangga sebelum datang bekerja,” katanya.

Menurutnya, dalam bidang perhotelan, ramai wanita fikir apabila sudah berkeluarga, mereka tidak dapat membahagikan masa antara tuntutan kerja dan rumah menyebabkan ramai yang tidak mahu menggalas cabaran itu.

Bagaimanapun, baginya, dia sememangnya merancang jadualnya untuk setahun termasuk cuti tahunan untuk diluangkan bersama keluarga.

“Jadi, tiada isu saya terlampau sibuk hingga mengabaikan masa berharga bersama keluarga terutama anak. Alhamdulillah, suami banyak membantu dan menyokong apa juga pencapaian saya malah sentiasa memberi galakan untuk saya terus mengembangkan kerjaya,” katanya.

KELUARGA menjadi penguat semangat Zunaidah.
KELUARGA menjadi penguat semangat Zunaidah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 2:37 PM