KURANGKAN minuman segera atau elak terus pengambilannya adalah langkah terbaik.
KURANGKAN minuman segera atau elak terus pengambilannya adalah langkah terbaik.
Siti Nadirah Hafidzin

Kesibukan harian dengan rutin padat sering menjadi alasan mengapa ramai memilih untuk mengambil minuman segera tiga dalam satu sebagai pengalas perut terutama ketika bersarapan.

Lebih membimbangkan trend itu bukan saja dilakukan golongan dewasa, malah turut diikuti kanak-kanak sebelum ke sekolah.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Muslim Malaysia (PERDIM), Dr Zubaidi Ahmad berkata, tidak dinafikan, lambakan produk minuman segera di pasaran sememangnya memudahkan seisi keluarga terutama ketika waktu sibuk pada waktu pagi.

Menurutnya, walaupun ia memudahkan, perlu difikirkan mengenai jumlah gula yang terkandung di dalam satu paket minuman segera itu terutama apabila ia diminum kanak-kanak.

“Agak sukar untuk menemui produk minuman segera yang benar-benar menepati jumlah gula sesuai kerana rata-ratanya terlalu manis.

JANGAN ikutkan nafsu makan dan minum.
JANGAN ikutkan nafsu makan dan minum.

“Memenuhi keinginan selera dengan menikmati pelbagai jenis makanan atau minuman yang lazat bukanlah satu kesalahan, namun pengambilannya perlu dikawal kerana kebanyakannya mempunyai kandungan gula yang sangat tinggi,” katanya.

Katanya, tanggapan umum yang melihat individu gemuk itu tidak sihat adalah tak tepat kerana ramai orang kurus juga mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti kolesterol tinggi dan diabetes atas faktor tidak mengamalkan pemakanan sihat dan ini merangkumi mengambil minuman segera.

“Individu yang mengambil makanan manis secara berlebihan lebih tinggi risikonya untuk mengalami masalah kesihatan termasuk peningkatan berat badan.

“Pengambilan gula dalam diet seharian individu memainkan peranan utama dalam menentukan tahap kesihatannya. Perkara yang amat dibimbangi kini adalah pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia yang dikesan menjadi punca obesiti dan pelbagai jenis penyakit kronik,” katanya.

Menurutnya, apa yang dibimbangkan bukan hanya berapa peratus gula yang diambil dalam sehari terutama melalui pelbagai produk minuman campuran, namun perlu difikirkan juga berapa nilai Indeks Glisemik (GI) produk itu.

DR Zubaidi
DR Zubaidi

“Kadar GI yang tinggi akan memberi kesan kepada peningkatan gula dan insulin dalam darah seseorang,” katanya.

ELAK KERAP AMBIL MINUMAN SEGERA

Ramai yang mengakui selain mudah, kebanyakan minuman segera mempunyai rasa lazat, namun perlu diingat, berpantang gula atau minuman manis adalah perkara yang baik. Bagaimanapun, tiada halangan untuk menikmati minuman segera kegemaran anda asalkan diambil secara bersederhana.

“Ini kerana kebanyakan produk minuman sebegini mempunyai gula ringkas daripada sumber karbohidrat ringkas yang berproses.

“Gula ringkas ini memberikan nilai GI yang tinggi dan sekiranya GI tinggi, ia akan mencetuskan masalah kesihatan kepada individu terbabit,” katanya.

Menurut Dr Zubaidi, bagi individu sihat, kadar GI yang tinggi boleh meningkatkan berat badan manakala bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan, ia akan menyebabkan penyakit dihidapi semakin sukar dikawal dan dirawat.

KURANGKAN mengambil minuman tiga dalam satu.
KURANGKAN mengambil minuman tiga dalam satu.

“Bagi yang pernah mengalami strok atau serangan sakit jantung, lebihan GI boleh meningkatkan risiko penyakit itu berulang.

“Bagi yang ada masalah ginjal, ia boleh menyebabkan kerosakan organ lain dan situasi ini lebih dibimbangkan sekiranya berlaku kepada kanak-kanak,” katanya.

Katanya, langkah terbaik adalah mengurangkan atau terus mengelak daripada mengambil sebarang minuman segera atau campuran terutama kepada individu yang mempunyai penyakit.

“Amat sukar untuk pesakit mengawal paras gula dalam darah mereka dengan baik jika mengambil produk minuman segera.

“Oleh itu, saya sarankan supaya menghentikan pengambilan makanan dan minuman manis kerana ramai tidak menyedari kandungan gula tersembunyi yang tinggi,” katanya.

Pilihan ada di tangan setiap orang. Tidak rugi jika berpantang sedikit demi kesihatan diri sendiri dan insan terdekat kerana jika anda sakit, mereka juga akan berasa tempiasnya.

“Pilih sama ada mahu makan sedap atau secara sihat. Kalau anda kreatif, ada banyak makanan sihat yang sedap terutama kepada individu yang sudah melewati usia 40.

“Bagaimanapun, seperti yang saya kata, ini bukan bermakna anda tidak boleh menikmati minuman lazat terutama berasaskan buah-buahan. Anda boleh menikmati apa saja minuman kegemaran, asalkan ia diambil secara bersederhana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 5:30 AM