BUAT pemeriksaan awal sebelum pulang bercuti.
BUAT pemeriksaan awal sebelum pulang bercuti.
LAKUKAN pemeriksaan gigi secara berkala.
LAKUKAN pemeriksaan gigi secara berkala.
LAKU pemeriksaan, pembersihan sebelum musim perayaan supaya dalam keadaan baik.
LAKU pemeriksaan, pembersihan sebelum musim perayaan supaya dalam keadaan baik.
Hafiz Ithnin


SYAWAL bakal tiba tidak lama lagi. Hidangan lazat pastinya menjadi perhatian apabila berada di atas meja untuk dijamu seisi keluarga.

Namun jangan lupa hal berkaitan dengan kebersihan dan kesihatan gigi tatkala menikmati juadah sempena perayaan Aidilfitri.

Doktor Pergigian di Pusat Perubatan Sunway, Dr Emilia Chua Siew Li berkata, tidak salah untuk menikmati juadah yang lazat, tetapi biarlah secara bersederhana.

Jelasnya, elakkan mengambil makanan dan minuman manis yang mengandungi gula berlebihan kerana ia boleh menyumbang kepada kerosakan gigi dan masalah kesihatan gigi yang lain. Sebagai alternatif, memilih sumber bergula yang kurang merosakkan gigi boleh memberi perubahan ketara terhadap kesihatan gigi anda.

"Sebagai contoh, 'dark chocolate' atau coklat kosong pilihan lebih baik berbanding gula-gula biasa kerana kandungan gula yang tidak berlebihan dan ia kurang melekat pada gigi anda," katanya.

Dr Emilia juga mencadangkan, pemilihan makanan seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran dengan hummus, keju, kekacang, protein tanpa lemak, bijirin penuh dan minuman seperti teh hijau serta hitam dapat memberikan manfaat tambahan kepada kesihatan mulut.

"Gunakan penyedut minuman untuk minuman bergula atau berasid seperti minuman ringan dan minumlah pada waktu makan, kekal hidrat dengan air yang cukup serta kunyah gula-gula getah xylitol tanpa gula untuk merangsang penghasilan air liur serta mencegah kerosakan gigi," katanya.

Katanya, lakukan pemeriksaan dan pembersihan gigi sebelum musim perayaan bagi memastikan gigi berada dalam keadaan baik serta dapat mengesan masalah lebih awal.

"Dapatkan nasihat daripada doktor gigi anda dan berbincang mengenai pilihan rawatan yang diperlukan seperti tampalan, pemutihan gigi, veneer, sarung gigi dan gigi palsu.

SAKIT gigi boleh menghilangkan mood untuk beraya.
SAKIT gigi boleh menghilangkan mood untuk beraya.

"Galakkan kanak-kanak mengambil makanan manis secara sederhana. Pilih snek yang tidak merosakkan gigi dan digalakkan untuk minum air. Kekalkan rutin penjagaan mulut yang betul dan memantau cara memberus gigi bagi kanak-kanak yang lebih muda," katanya.

Beliau juga mencadangkan penjagaan kesihatan mulut dengan lebih baik iaitu hadkan minuman manis dan berasid, berkumur selepas mengambil makanan manis dan kekal hidrat bagi menghilangkan sisa makanan dan asid.

Selain pilih snek yang tidak merosakkan gigi seperti lobak merah, saderi, susu, keju dan yogurt.

"Selain itu, berus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi berfluorida dan flos setiap hari bagi mengelakkan penyakit gusi, makan diet yang kaya dengan nutrien, tukar berus gigi dengan kerap dan lakukan pemeriksaan pergigian secara berkala," katanya.

JANGAN ambil makanan yang manis berlebihan.
JANGAN ambil makanan yang manis berlebihan.

Katanya, musim perayaan adalah masa yang sesuai untuk pergi bercuti. Sebahagian daripada kita mungkin mengalami masalah gigi sensitif ketika dalam perjalanan ke lokasi dituju dengan cuaca yang dingin.

"Udara sejuk dan beberapa makanan tempatan yang mengandungi gula dan asid yang tinggi boleh meningkatkan risiko gigi sensitif terutama di kawasan akar gigi terdedah atau kawasan gigi yang haus.

"Amalkan kebersihan mulut anda seperti memberus gigi, flos, dan menggunakan pengkumur mulut ketika bercuti untuk meminimumkan risiko sensitiviti dan masalah pergigian yang lain," katanya.

Katanya, situasi kecemasan pergigian yang tidak diingini pada musim perayaan seperti tampalan pecah ketika mengunyah kacang atau gula-gula yang keras atau mengalami gigi sensitif.

ORANG ramai perlu bijak menikmati hidangan perayaan yang sihat.
ORANG ramai perlu bijak menikmati hidangan perayaan yang sihat.

"Adakalanya tidak boleh dielakkan daripada berlaku. Justeru beberapa panduan yang boleh dilakukan untuk membantu anda sebelum janji temu pergigian iaitu bilas mulut anda dan flos dengan lembut.

"Gunakan pad sejuk yang mampat untuk meredakan sebarang bengkak dan ambil ubat tahan sakit seperti paracetamol," katanya.

Menurutnya, jika terdapat bengkak, demam atau kesukaran bernafas atau menelan, dapatkan rawatan pergigian kecemasan atau ke hospital yang berdekatan untuk mendapatkan bantuan segera.

"Sekiranya gigi tercabut, pegang gigi di bahagian korona, bilas tanpa menggosoknya dan cuba masukkan semula ke dalam soket dengan segera jika boleh atau simpan di dalam susu atau air liur untuk mengekalkan gigi sambil mendapatkan rawatan pergigian dengan segera.

KANAK-KANAK perlu dididik untuk memilih makanan yang sihat.
KANAK-KANAK perlu dididik untuk memilih makanan yang sihat.

"Untuk tampalan yang hilang atau sarung gigi (crown) tercabut, kekalkan kebersihannya dan pastikan sarung gigi yang tercabut itu selamat, segeralah mendapatkan rawatan pergigian," katanya.

Petua untuk mengekalkan kebersihan mulut yang baik ketika dalam perjalanan:

- Bawa barangan penjagaan mulut yang mencukupi termasuk berus gigi, ubat gigi dan flos terutama dalam pesawat atau untuk perjalanan yang singkat.

- Sebaik-baiknya gunakan penutup berus gigi untuk memastikan ia kekal bersih.

- Kekal hidrat untuk membilas sisa makanan dan mengelakkan mulut kering.

- Jaga pemakanan anda, hadkan pengambilan makanan manis dan minuman berasid.

- Amalkan rutin penjagaan mulut yang baik iaitu berus gigi dua kali sehari dan flos setiap hari.

- Lakukan pemeriksaan gigi secara berkala sebelum bercuti untuk mengelakkan sebarang kecemasan berkaitan pergigian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 6:20 AM