Intan Mas Ayu Shahimi

Dunia kecantikan cukup sinonim dengan wanita. Mereka cenderung menghabiskan masa dan wang untuk sentiasa anggun menawan. Namun, dalam kesibukan menjalani rutin harian, tidak ramai yang berkesempatan membelek wajah di depan cermin.

Penyelesaian paling mudah adalah dengan menggunakan produk tiga dalam satu atau apa saja bahan penjagaan wajah yang menawarkan beberapa langkah ringkas. Begitupun, produk sebegini tidak kalis dengan kesan penuaan seperti timbulnya garis halus, jeragat dan mungkin jerawat.

Sebenarnya penjagaan wajah yang baik tidak seharusnya bergantung penuh terhadap penggunaan produk. Rutin penjagaan yang sihat, diet seimbang dan rawatan di pusat kecantikan secara berkala perlu dijadikan amalan untuk membantu mengekalkan keremajaan kulit.

Menurut pemilik Emma Amani Beauty Saloon, Halima Mahsuni, pada usia remaja, kulit muka wanita dikatakan berada pada tahap terbaik dengan keanjalan maksimum. Tetapi, ia akan berubah apabila usia semakin meningkat, seiring peredaran masa.

Bentuk muka mungkin akan menjadi lebih lebar dan kulit mengendur. Garis halus akan mula kelihatan, sekali gus menjadikan wajah tampak suram tidak bermaya.

HALIMA.
HALIMA.

“Penuaan adalah proses semula jadi yang tidak boleh dihentikan. Walaupun demikian, pada zaman serba moden ini, ada banyak pilihan rawatan wajah yang boleh dilakukan untuk membantu mengurangkan kesan penuaan. Antara yang paling popular adalah rawatan dengan vitamin C, kolagen dan menegangkan kembali kulit.

“Di sini, majoriti pelanggan wanita datang untuk mendapatkan rawatan menegangkan kulit, menghilangkan geleberan mata, mengurangkan lingkaran hitam serta garis halus di sekeliling mata serta sekitar mulut.

“Tempoh rawatan juga tidak lama iaitu sekitar satu ke dua jam, bergantung kepada keadaan wajah. Semua prosedur dijalankan oleh saya sendiri dan paling utama, ia merangkumi pakej membersihkan wajah,” katanya.

Menurut Halima, rawatan menegangkan kulit itu biasanya dicadangkan kepada bakal pengantin untuk menaikkan seri dan bentuk wajah serta mereka yang memiliki kesan kedutan ketara, sekali pun baru mencapai usia 20-an.

“Saya mula berkecimpung dalam dunia rawatan kecantikan sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sehingga kini, saya tidak pernah meletakkan sebarang had umur kepada pelanggan. Apa yang penting, mereka harus berusia 18 tahun dan ke atas.

“Rawatan yang diberi juga masih bergantung kepada keperluan kulit wajah pelanggan. Jika perlu rawatan kolagen, saya cadangkan dulu kepada mereka. Sama juga dengan rawatan vitamin C, jerawat, resdung, jeragat dan sebagainya.

“Jika rawatan khusus tidak diperlukan, saya akan buat rawatan wajah yang biasa saja. Rawatan ini sebenarnya turut menjadi pakej asas kepada rawatan khusus yang lain,” katanya.

Jelasnya, rawatan asas wajah lazimnya bermula dengan rutin mencuci wajah untuk menghilangkan kesan minyak dan kotoran. Langkah ini disusuli dengan skrub untuk menanggalkan sel kulit mati.

“Ketika pemakaian skrub, saya akan buat urutan wajah. Selepas semua bahan dibersihkan, baru saya mulakan rawatan wajah yang sebenar menggunakan teknik tradisional atau sedutan vakum.

“Rawatan selama 15 minit ini bertujuan membuang sumbatan pada liang pori kulit, membersihkan jerawat serta minyak berlebihan. Hanya selepas itu, baru saya sapukan masker wajah bersesuaian, sama ada untuk kulit berjerawat, normal, berjeragat atau kesan sejuk bagi menegangkan kembali tekstur kulit wajah,” katanya.

Kata Halima, rawatan menegangkan kulit akan dilakukan selepas sapuan serum diratakan pada kulit wajah. Tempoh bagi setiap prosedur adalah bergantung kepada bentuk wajah.

“Kalau seseorang itu berjerawat, rawatan mungkin lebih rumit dan lama sedikit. Bagi pasangan yang mahu berkahwin, saya cadangkan mereka datang dua minggu sebelum majlis pernikahan,” katanya.

1. SKRUB muka untuk menanggalkan sel kulit mati.
1. SKRUB muka untuk menanggalkan sel kulit mati.

2. SEDUTAN vakum selama 15 minit untuk membuang sumbatan pada liang pori kulit.
2. SEDUTAN vakum selama 15 minit untuk membuang sumbatan pada liang pori kulit.

3. SAPUAN masker mengikut kesesuaian kulit wajah.
3. SAPUAN masker mengikut kesesuaian kulit wajah.

4. RAWATAN menegangkan kulit dilakukan selepas sapuan serum.
4. RAWATAN menegangkan kulit dilakukan selepas sapuan serum.

5. MENGHILANGKAN lingkaran gelap bawah mata.
5. MENGHILANGKAN lingkaran gelap bawah mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 12:51 PM