BIMBINGAN ibu bapa atau inisiatif pihak sekolah penting bagi melindungi diri daripada buli dalam talian.
BIMBINGAN ibu bapa atau inisiatif pihak sekolah penting bagi melindungi diri daripada buli dalam talian.
Muhammad Saufi Hassan


SEPANJANG tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu memperlihatkan kecepatan kadar adaptasi digital di seluruh negara apabila hampir semua segmen menggunakan ruang siber untuk melakukan tugasan rutin.

Ini tidak terkecuali untuk murid serta pelajar apabila tempoh waktu golongan ini di skrin paparan turut meningkat tatkala semua aktiviti pembelajaran rutin dilaksanakan menerusi medan siber.

Tempoh masa golongan ini di skrin paparan juga meningkatkan kesan lain antaranya serangan siber, buli di media sosial dan bermacam lagi kesan negatif jika tiada langkah untuk membendungnya.

Statistik buli siber juga merekodkan trend meningkat sejak 2019 biarpun pada tahun-tahun sebelumnya, ia tidak begitu konsisten memandangkan wujud tahun tertentu yang mencatatkan insiden buli siber yang tinggi dan sebaliknya.

Pakar keselamatan siber, Fong Choong Fook berkata, kes buli siber ini tidak hanya tertumpu kepada penggunaan perkataan memalukan atau kesat di media sosial, malah turut membabitkan kes penggodaman.

Menurutnya, wujud keadaan dan insiden yang dimaklumkan kepada beliau ada pembuli siber yang sanggup melakukan penggodaman termasuk melakukan pengintipan tanpa disedari mangsa.

"Kami ada menerima banyak kes mangsa buli siber ini yang bukan hanya menjadi mangsa kepada kata-kata makian, tetapi akaun media sosial mereka digodam.

"Wujud juga kes pada tahap kritikal apabila pembuli siber yang berkeupayaan menggodam kamera web milik mangsa termasuk mikrofon untuk tujuan pengintipan.

PEMBABITAN ibu bapa dalam memberi garis panduan penggunaan sosial media perlu termasuk perhatian kepada isu buli siber.
PEMBABITAN ibu bapa dalam memberi garis panduan penggunaan sosial media perlu termasuk perhatian kepada isu buli siber.

"Kebiasaannya, mangsa tidak menyedari sehingga pada suatu tahap mereka sedar video mereka sudah tersebar atau pembuli berkenaan menghantar video itu kepada mereka," katanya.

Hasil daripada pelbagai pendedahan daripada agensi berkaitan berhubung buli siber berkenaan sudah memperlihatkan hasilnya apabila kajian yang dilaksanakan menunjukkan penurunan.

Soal selidik yang dijalankan penyedia rangkaian telekomunikasi terkemuka, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) menunjukkan lima peratus responden mengalami buli dalam talian sejak pandemik berbanding lapan peratus sebelum ini.

Inisiatif yang dilaksanakan juga mendapati 42 peratus kanak-kanak sudah menjalani latihan antibuli siber, namun 80 peratus kanak-kanak berusia bawah 10 tahun tidak mendapat pendedahan berkenaan.

Ketua Bahagian Kelestarian Digi, Philip Ling berkata, kaji selidik berkenaan dilaksanakan bersama Universiti Sunway membabitkan penyertaan 1,746 pelajar berumur di bawah 21 tahun di seluruh negara.

"Tempoh masa kaji selidik ini dilaksanakan bermula Ogos sehingga September lalu dengan tema 'Kehidupan Dalam Talian Kanak-Kanak Semasa Covid-19: Nilai dan Cabaran'.

SEPANJANG tempoh PKP lalu memperlihatkan kecepatan kadar adaptasi digital di seluruh negara.
SEPANJANG tempoh PKP lalu memperlihatkan kecepatan kadar adaptasi digital di seluruh negara.

"Kaji selidik mendapati 71 peratus kanak-kanak meluangkan lebih banyak masa skrin sejak pandemik, dengan 89 peratus kanak-kanak menggunakan telefon pintar untuk melayari internet.

"Pada masa sama, 36 peratus responden menggunakan komputer riba dan hanya 22 peratus menggunakan desktop," katanya.

Menjelaskan hasil kaji selidik berkenaan, Ling berkata, responden yang lebih muda melaporkan bahawa mereka menghabiskan sebahagian besar masa untuk e-pembelajaran manakala kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke atas mula meluangkan lebih banyak masa melayari media sosial dan platform penstriman video untuk berhubung dengan rakan mereka di samping mengikuti trend terkini.

"Meskipun 61 peratus responden bersetuju bahawa buli siber masih isu besar yang dihadapi, kaji selidik menunjukkan buli dalam talian sudah berkurangan sedikit iaitu lapan peratus dalam kalangan responden mengalami buli siber sebelum pandemik.

"Hanya 42 peratus mengatakan bahawa mereka menerima beberapa bentuk bimbingan untuk melindungi diri daripada buli dalam talian, terutama daripada ibu bapa, penjaga atau inisiatif yang dikendalikan oleh pihak sekolah.

"Sementara itu, 80 peratus kanak-kanak bawah 10 tahun melaporkan bahawa mereka tidak menerima sebarang bentuk latihan perlindungan buli siber, sekali gus menekankan akan keperluan kolaborasi yang lebih bersepadu oleh kerajaan, industri, penjaga, warga pendidik dan ibu bapa," katanya.

STATISTIK buli siber juga merekodkan trend meningkat sejak 2019 biarpun pada tahun-tahun sebelumnya ia tidak begitu konsisten.
STATISTIK buli siber juga merekodkan trend meningkat sejak 2019 biarpun pada tahun-tahun sebelumnya ia tidak begitu konsisten.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 6:10 AM