ZALEHA di cawangan butiknya yang kedua.
ZALEHA di cawangan butiknya yang kedua.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Bunga sakura tidak hanya menjadi kebanggaan rakyat negara matahari terbit, bunga yang memiliki keindahan dan pesonanya tersendiri itu juga menggamit perhatian di seluruh dunia.

Kecantikan dan keunikan bunga ini memang tidak dapat disangkal. Seperti bunga mawar ia simbol kemegahan dan elegan malah tidak keterlaluan jika dikatakan bunga ini berada dalam kelasnya tersendiri.

Justeru tidak hairan motif sakura sering menjadi inspirasi dalam rekaan fesyen sejak berabad lama dan tidak ketinggalan ia sering dijadikan antara ilham dalam industri fesyen tempatan.

Butik Muslimah Hijabs by Hanami menjadikan sakura sebagai elemen utama dalam rekaan koleksinya bersesuaian dengan nama butik itu sendiri yang bermaksud musim bunga di Jepun.

Pemiliknya Siti Zaleha Hamzah berkata, sakura menjadi inspirasi dalam koleksi terbaru blaus Muslimah Hana Sakura yang direka khas dengan motif bunga berkenaan terhias indah di atasnya.

Bagi memastikan ciri eksklusif koleksi itu, katanya, fabrik yang digunakan bagi menghasilkan Hana Sakura dicetak khas dengan motif sakura dan pastinya pelanggan tidak akan menemui rekaan corak itu di tempat lain.

Blaus Hana Sakura yang kini menjadi identiti butik itu dijual khas di butik terbabit dengan kuantiti terhad bagi memastikan ia kekal eksklusif.

Menggunakan fabrik krep moss dikenali dengan kelembutan, keselesaan dan juga daya penyerapan peluh yang tinggi dan tidak mudah berkedut, nyata percaturan butik itu membuahkan hasil.

Musim pertama blaus itu didatangkan dengan tujuh warna dan bagi musim kedua, enam warna pilihan boleh didapati iaitu merah, merah hati, mustard, putih, hitam dan biru gelap.

“Di pasaran, kebanyakan penggiat industri ini menawarkan produk yang seakan-akan sama, justeru kami mahu kekalkan identiti jenama ini sendiri tanpa terikat atau dikaitkan de­ngan pengusaha lain.

“Masih mengekalkan ciri penting yang dicari Muslimah iaitu mesra wuduk dan mesra menyusu bayi, blaus ini mempunyai zip di bahagian leher ke dada untuk memudahkan ibu yang menyusukan bayi selain zip di bahagian lengan.

“Blaus ini juga direka labuh ke paras lutut selain beberapa rekaan blaus Muslimah seperti Blaus Roudhah yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan kami,” katanya.

Butik itu juga kini giat mempromosi jenama terbabit melalui beberapa siri jelajah seluruh negara.

Katanya, persaingan se­ngit dalam industri fesyen bukan saja memerlukan pereka lebih kreatif dalam menghasilkan rekaan terkini, malah perlu ada kelainan dalam setiap rekaan sebagai nilai tambah.

Justeru, bermula hanya melalui dalam talian, Hijabs by Hanami mula mengembangkan sayapnya dengan pembukaan butik di Alam Avenue 2, Shah Alam, Selangor dua tahun lalu dan kini cawangan kedua butik itu dibuka di Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi pada 31 Januari 2016.

Butik Hijabs by Hanami turut menghasilkan rekaan tudung dan selendang yang selari dengan kehendak masa kini namun memastikan aurat benar-benar ditutupi mengikut syariat.

Semua koleksi tudungnya direka labuh di depan dan belakang badan di samping gabungan dua warna pada selendang untuk memberi kelainan kepada pemakai.

Pada awal pembabitannya dalam industri fesyen, bekas pensyarah universiti awam itu pada mulanya menghasilkan sendiri selendang untuk dipakai kerana ketika itu dia tidak berpuas hati dengan kualiti selendang yang terdapat di pasaran yang kebanyakannya menggunakan kain agak jarang serta tidak labuh.

“Cubaan saya membuat tudung sendiri mendapat perhatian rakan sekerja ketika itu. Dari situ mula timbul minat untuk berniaga si samping mahu melihat lebih ramai Muslimah yang mementingkan aurat tapi masih boleh bergaya dan nampak moden.

“Tidak sangka sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan selepas saya cuba memasarkannya secara dalam talian. Ramai pelanggan yang mahu selendang labuh menutup dada dan belakang tapi tidak banyak memenuhi cita rasa mereka,” katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu turut memilih fabrik seperti sifon berat, sifon Korea, kapas dan moss crepe kerana lebih ringan, sejuk dan kelihatan mahal namun tidak jarang dan sesuai dipakai dalam apa jua acara.

Kebanyakan pelanggan memberikan komen memberangsangkan membuatkan dia sentiasa ingin memperbaiki kualiti koleksi selendangnya.

Selain itu katanya, selendang segera turut menjadi pilihan pelanggannya terutama wanita berkerjaya kerana ringkas dan mudah dipakai tapi tampak elegan.

“Kami juga menghasilkan selendang yang dibuat de­ngan kombinasi warna yang boleh digunakan pada kedua-dua bahagian luar atau dalam bagi memberi lebih pilihan untuk pelanggan dalam satu selendang saja,” katanya.

Butik itu turut berkongsi keuntungan bersama pengedarnya dan apa yang lebih penting hubungan erat yang terjalin memastikan jenama itu terus kukuh di pasaran.

Kini dia dalam perancangan untuk memberi latihan percuma kepada pengedar jenama itu untuk menarik lebih ramai pelanggan dan mengekalkan jualan yang disasarkan setiap bulan.

“Dengan cara ini, kami juga dapat membantu orang lain menjana pendapatan tanpa mengeluarkan modal besar,” katanya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan koleksi butik itu boleh berbuat demikian melalui Facebook dan Instagram Hijabs by Hanami atau ke butik di Bangi Sentral atau Alam Avenue, Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:01 AM