LEGO sangat berkesan sebagai terapi untuk kanak-kanak autisme
LEGO sangat berkesan sebagai terapi untuk kanak-kanak autisme
Yusliza Yakimir Abd Talib


AUTISME bukanlah penyakit sebaliknya gangguan perkembangan otak yang menjejaskan kemahiran sosial dan komunikasi. Latihan dan pendidikan khas mampu merangsang sel otak di bahagian yang terjejas.

Masih banyak yang perlu dilakukan untuk mengembangkan dan meningkatkan bidang diagnosis dan terapi untuk autisme serta keadaan yang berkaitan.

Perkara itu ditegaskan oleh Pakar Psikologi Neuro Klinikal Dr Daniel B LeGoff . Malah menurutnya, Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental edisi kelima (DSM-V) oleh Persatuan Psikiatri Amerika digunakan sebagai proses diagnostik utama di negara ini tidak sejajar dengan piawaian yang lebih diterima di peringkat antarabangsa ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (ICD-10).

“Penggunaan DSM-V mengakibatkan terlalu banyak diagnosis berlebihan yang menyebabkan salah faham mengenai peningkatan kadar penghidap autisme sering berlaku.

“Kebanyakan terapi autisme yang sering digunakan hari ini lebih memfokuskan kepada golongan dewasa dan ia gagal menangani isu utama kanak-kanak autisme iaitu ketidakupayaan untuk bersosial dan bergaul dengan rakan sebaya secara efektif. Ini mengakibatkan kanak-kanak autisme membesar dalam keadaan sunyi dan perlu bergantung kepada orang lain sebagai sumber kewangan mereka,” katanya yang mengunjungi Asia buat julung kali untuk menyampaikan syarahan mengenai Lego sebagai Model Terapi Autisme.

Dr LeGoff yang juga Pengasas Terapi Lego untuk Autisme berkata, ini adalah punca utama mengapa terapi itu sangat berkesan bagi membantu kanak-kanak autisme dan keadaannya yang berkaitan.

Terapi ini membolehkan kanak-kanak membentuk hubungan yang dimulakan sendiri dan berterusan dengan rakan melalui proses pembinaan batu bata Lego bersama yang memerlukan mereka untuk berkomunikasi dan bergaul secara berkesan sesama sendiri.

Proses ini yang dibangunkan lebih dari 20 tahun dan menjadi subjek kajian Dr LeGoff serta penyelidik dari Pusat Penyelidikan Autisme Universiti Cambridge.

Ia didapati dapat membantu kanak-kanak membuat hubungan dengan sendiri, menguruskan perbezaan sosial dan belajar untuk bertanggungjawab atas tindakan yang dilakukan mereka.

TUNJUK PERKEMBANGAN POSITIF

Berucap kepada peserta seminar yang terdiri daripada ibu bapa kanak-kanak autisme, doktor, ahli terapi dan pelajar psikologi baru-baru ini, program ini dijangka dapat memberi penyediaan kepada anak berkenaan untuk menghadapi kehidupan dewasa secara lebih berdikari, meningkatkan keyakinan bersosial dan juga bertanggungjawab di atas setiap perbuatan mereka.

Kajian jangka pendek selama tiga bulan menunjukkan hubungan diri dengan rakan sebaya semasa proses pembinaan batu bata Lego bersama yang memerlukan mereka untuk berkomunikasi dan bergaul secara berkesan sesama sendiri.

Proses ini yang dibangunkan lebih dari 20 tahun dan menjadi subjek kajian Dr LeGoff serta penyelidik dari Pusat Penyelidikan Autisme Universiti Cambridge. Ia didapati dapat membantu kanak-kanak membuat hubungan dengan sendiri, menguruskan perbezaan sosial dan belajar untuk bertanggungjawab atas tindakan yang dilakukan mereka.

Kajian jangka pendek selama tiga bulan menunjukkan hubungan diri dengan rakan sebaya semasa bermain secara bebas meningkat sebanyak 69 peratus, manakala penilaian selepas enam bulan menunjukkan peningkatan 83 peratus.

Langkah paling penting dalam kajian - tempoh interaksi sosial - menunjukkan kenaikan 74 peratus selepas tiga bulan dan peratusan yang memberangsangkan sejumlah 182.6 peratus selepas enam bulan.

Apa yang lebih menarik, keputusan yang baik itu berkekalan berdasarkan kajian jangka panjang yang dijalankan selama tiga tahun.

Kajian bebas juga mendapati kanak-kanak dalam kumpulan Terapi Berasaskan Lego juga menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding dengan kanak-kanak dalam terapi sosial perbandingan.

Hasil ini dijelaskan dalam kajian lanjut oleh Dr LeGoff pada 2010 dan 2011, malah dengan potensi ini, Dr LeGoff percaya rantau membangun seperti Asia Tenggara mampu pergi lebih jauh terutama bagi Terapi Berasaskan Lego selepas menyaksikan kejayaan program itu di Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Australia dan negara maju lain.

Beliau berkongsi bagaimana penyelidikan dan kajian persendirian yang dipeloporinya selama 20 tahun itu menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan terhadap anak autisme dan mereka yang menghidap permasalahan sama.

Sementara itu, Pemimpin Projek BLOKKELabs untuk Program BLOKKETherapy Sheahnee Iman Lee berkata, membawa Dr LeGoff ke Malaysia adalah satu langkah penting dalam membolehkan pihaknya membantu ibu bapa yang mempunyai masalah dan sering menghubungi mereka untuk mendapatkan terapi yang lebih baik dan lebih menarik untuk anak istimewa ini.

“Ibu bapa sendiri mendapati anak mereka berhubung dengan lebih baik ketika adanya Lego dan mula berfikir bagaimana menjadikan perkara ini satu kelebihan kepada kumpulan berkenaan.

“Selepas membuat kajian ke atas penyelidikan Dr LeGoff, kami tanpa raguragu berasakan buat masa ini ia adalah terapi yang terbaik untuk anak istimewa ini,” katanya.

Dr LeGoff berada di Kuala Lumpur bagi melatih ahli terapi daripada perintis Pendidikan Lego, BLOKKE Labs Sdn Bhd dan Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (NASOM) di bawah inisiatif bersama yang disokong oleh Bank Rakyat dan Lego Malaysia atau BLOKKETherapy, program terapi autisme pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menggunakan Lego.

Di bawah bimbingan Dr LeGoff, BLOKKELabs akan memulakan projek perintis selama enam bulan dengan kerjasama NASOM untuk menilai pelaksanaan dan keberkesanan terapi ini di Malaysia.

Pada masa sama, projek tambahan selama enam bulan akan menyusul dan menyaksikan BLOKKETherapy bakal dipraktikkan di semua BLOKKELabs sedia ada dan pusat pendidikan Lego yang akan datang, serta 17 daripada 20 pusat autisme NASOM di seluruh Malaysia.

Program BLOKKETherapy ini akan bermula pada 24 Julai ini dengan pasukan pengasas sejumlah enam ahli terapi dari BLOKKELabs dan NASOM ditugaskan untuk menilai kumpulan kawalan seramai 12 kanakkanak yang mengidap autisme dan yang dipilih. BLOKKETherapy dijangka menerima pengambilan pertama pelajar pada suku pertama 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 11:45 AM