AMIRA dan Azlina berwefie.
AMIRA dan Azlina berwefie.
MENIKMATI hidangan kegemaran sushi.
MENIKMATI hidangan kegemaran sushi.
Siti Zarinah Sahib


Di pentas utama tujuh kanak-kanak autisme terdiri daripada ahli Koir Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (Nasom), Maestro menyanyikan lagu Magic Castle dalam bahasa Korea dengan penuh perasaan. Penghayatan begitu bersahaja dan tenang mendapat tepukan gemuruh penonton.

Seorang daripadanya ialah Amira Daniea Saiful Amri, 12, ditemani ibunya, Azlina Masdar yang hadir sempena pelancaran kempen Champs-Nasom 2017, baru-baru ini.

Menurut Azlina, memiliki anak autisme bukanlah sesuatu yang menyedihkan dan bukan pula sesuatu perlu disorok. Ini kerana semakin ramai yang berani berkongsi pengalaman membesarkan anak autisme agar ia dapat dijadikan panduan buat ibu yang lain.

“Saya akui membesarkan Amira bukanlah sesuatu yang mudah. Ia sangat mencabar kerana emosinya tidak sama seperti kanak-kanak lain. Kita perlu memahami, masuk dalam pemikiran dan jiwa barulah mudah menjaga mereka,” jelas Azlina yang bertugas sebagai pakar anestesiologi dan Pensyarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Menceritakan cara dia mengesan kelainan anak bongsu daripada tiga beradik ini, jelas Azlina, Amira yang dilahirkan di Dublin pada 18 Mac 2005 sama seperti bayi lain. Walaupun dia mampu mengeluarkan bunyi suara dan boleh menyebut perkataan ‘mama’, lama-kelamaan panggilan ini hilang sendiri. Apabila menginjak usia dua tahun, Amira tidak mampu bertutur seperti kanak-kanak seusia.

“Saya mula tak sedap hati apabila Amira tidak menunjukkkan tindak balas apabila dipanggil. Dia seperti berada dalam dunia sendiri dan tidak memberikan maklum balas ketika bermain dengan rakan sebaya. Tambahan pula saya seorang doktor jadi sedikit sebanyak merasai kelainan pada Amira,” katanya.

Tidak menunggu lama, memasuki usia dua tahun, Amira terus dibawa bertemu pakar kanak-kanak, psikologi dan psikiatri bagi mendapatkan penjelasan mereka. Namun hanya pada usia dua tahun setengah barulah ujian yang dijalankan menunjukkan Amira mempunya ciri-ciri autisme. Ketika itu Azlina mengikut suami menyambung pengajian dalam bidang doktor falsafah (Phd) di Dublin, Ireland jadi semua pemeriksaan termasuk pendengaran dan pertuturan dijalankan di sana.

“Sebaik saja mendapat keputusan pemeriksaan, saya sangat sedih. Saya tidak dapat membayangkan masa depan Amira sekiranya saya tiada nanti. Tetapi saya tidak boleh membiarkan dia begitu kerana Amira perlu dibantu dengan pelbagai terapi dan pembelajaran agar dapat bersosial seperti kanak-kanak lain. Bermula dari situ saya kuatkan hati untuk menjadi ibu yang proaktif bagi menyediakan pembelajaran terbaik kepadanya,” katanya.

Oleh kerana Amira lambat bertutur, dia didedahkan aktiviti seni seperti melukis, mewarna dan menyanyi terlebih dulu. Dia dimasukkan ke tadika khas untuk kanak-kanak autisme pada usia tiga tahun dan menjalani tuisyen di rumah selama empat jam sehari merangkumi pembelajaran dan cara mengurus diri. Mata pelajaran paling diminati ialah Matematik dan dia mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik.

“Saya bersyukur kerana di Dublin ada sekolah khas untuk autisme dan ia sangat lengkap. Saya membina perilaku dan kendiri Amira agar dia dapat menguruskan diri seperti makan, minum, mandi dan ke tandas dengan sendiri,” katanya.

Sama seperti kanak-kanak autisme yang lain, Amira turut mempunyai ragam seperti mengamuk, menjerit dan menangis tanpa sebab yang tidak diketahui. Di sinilah peranan ibu bapa untuk menenangkannya. Pembelajaran mengenai terapi perilaku sangat membantu bagi memulihkan Amira untuk menjadi normal semula. Ia memerlukan masa yang panjang bagi memulihkan Amira.

“Dulu saya jarang membawa Amira ke pusat beli-belah. Apabila dia sudah tenang, tidak lagi menjerit dan dapat mengawal diri barulah saya membiasakannya dengan orang ramai. Amira sendiri mempunyai tabiat seperti obses kepada sesuatu misalnya mengumpul anak patung Hello Kitty dan tidak suka kepada bunyi bising seperti bayi menangis.

“Sebab itu terapi kelakuan ini sangat penting agar dia dapat mengawal diri daripada berkelakuan yang tidak sepatutnya,” kata Azlina yang menetap di Dublin selama tujuh tahun sebelum mengambil keputusan pulang ke Malaysia bagi mendedahkan Amira kepada suasana persekolahan di sini.

Di Malaysia, Amira dihantar ke sekolah kebangsaan bagi membolehkan dia bercampur dengan kanak-kanak lain. Dia juga dibantu guru khas daripada Nasom sekiranya mempunyai masalah pembelajaran. Walaupun kebolehan bertutur masih terbatas, Amira mampu memahami arahan. Menerusi pergaulan dengan kanak-kanak seusia, Amira menunjukkan peningkatan ketara termasuk sahsiah diri.

Sebagai ibu, tiada yang lebih menggembirakan apabila melihat peningkatan Amira dalam pelajaran. Dia kini boleh menguruskan diri dan mengikut silibus pembelajaran di sekolah.

“Itu yang paling bermakna. Apabila saya dan suami sudah tiada sekurang-kurangnya kami tidak risau kerana dia mampu menguruskan diri sendiri. Pada masa sama, kami perlu menguatkan sistem kekeluargaan dari dalam rumah. Apabila kami sudah tiada, adik-beradik akan mampu menjaga Amira dengan baik. Itulah yang kami harapkan,” kata Azlina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 10:33 AM