Feilina (dua dari kiri) bersama pelukis pada  jualan amal karya seni bertemakan The Young Help Young  di Galeri Prima, Anjung Riong NSTP,  semalam.
Feilina (dua dari kiri) bersama pelukis pada jualan amal karya seni bertemakan The Young Help Young di Galeri Prima, Anjung Riong NSTP, semalam.
Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Sempena sambutan ulang tahun ke-31 penubuhan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Galeri Prima dengan kolaborasi Lelongan Seni Henry Butcher (HBArt) dan My Initium Shop menganjurkan jualan amal karya seni bertemakan The Young Help Young.

Seramai 18 pelukis muda yang terdiri daripada graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menyertai jualan amal berkenaan yang bermula semalam hingga Rabu ini.

Menurut Pengarah HBArt Sim Polenn, jualan itu sedikit sebanyak memberi peluang kepada pelukis muda untuk mempamerkan karya masing-masing di galeri berkenaan kepada orang ramai.

Katanya, ia juga sebagai tanda sokongan dan sebahagian sumbangan melalui karya seni daripada orang muda kepada golongan kurang bernasib baik.

“Kami menyasarkan jualan ini berjaya mengumpul dana antara RM20,000 dan RM30,000 yang mana 70 peratus daripadanya diserahkan kepada NASOM.

“Ini jualan amal kali kedua yang diadakan dalam usaha membantu persatuan berkenaan mencari dana bagi keperluan anak-anak autisme,” katanya ketika ditemui di Galeri Prima, Anjung Riong The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di sini, semalam.

Katanya, pada jualan amal tahun lalu pihaknya memilih menjual hasil lukisan anak autisme dan mengumpul dana RM20,000.

Sementara itu, Pengerusi NASOM Feilina Feisol berkata, pihaknya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada semua pihaknya yang menganjurkan jualan amal berkenaan.

Katanya, sumbangan dan sokongan yang diberikan sangat membantu persatuan berkenaan terutama 22 pusat terapi NASOM di seluruh negara.

“Ia sedikit sebanyak membantu kami menyediakan keperluan yang lebih baik kepada 500 kanak-kanak autisme di pusat terapi itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 4:50 AM