KAYLEIGH bersama Astro. FOTO Agensi
KAYLEIGH bersama Astro. FOTO Agensi
Agensi

London: Seorang Ibu di Britain berkongsi pengalaman unik melahirkan anak kembar cuma selang 22 hari.

Bayi itu dilahirkan di hospital berbeza, namun malangnya hanya seorang daripadanya terselamat.

Kayleigh Doyle hamil anak kembar yang sihat sempurna dan tidak tahu ada sebarang masalah sehingga air ketubannya pecah pada usia kelahiran 22 minggu.

Kembar pertama dinamakan Arlo meninggal dunia ketika dilahirkan melalui kelahiran semula jadi.

Ibu bayi berusia 22 tahun itu kemudian dihantar pulang berehat apabila belum sampai masa melahirkan kembar kedua.

Selang 22 hari kemudian, bayi kedua, Astro berjaya dilahirkan dengan selamat dan sihat melalui pembedahan kecemasan.

Doktor yang menyambut kelahiran bayi itu bingung dengan insiden itu.

Kayleigh mengakui agak sukar membesarkan seorang bayi sambil meratapi kematian kembarnya, apatah lagi persiapan sudah dibuat termasuk membeli dua set keperluan bayi kembar itu.

"Selepas trauma melahirkan bayi pertama saya, saya terkejut apabila mereka berkata saya boleh pulang ke rumah.

"Sehingga hari ini, saya masih tidak dapat mencari seorang wanita di United Kingdom yang boleh mengalahkan (rekod selang kelahiran) 22 hari," katanya.

Katanya, dia benar-benar tidak percaya apabila anaknya Astro lahir dengan selamat.

"Astro, kini berusia dua tahun, mempunyai berat 0.9 kilogram dan mengalami komplikasi kerana dilahirkan secara pramatang termasuk jantungnya berlubang dan retinopati, yang menyebabkan pertumbuhan saluran darah tidak normal di mata," katanya.

Katanya, dia kini menjadi sukarelawan wad penjagaan intensif untuk bayi Unit Rawatan Rapi Neonatal (Nicu) untuk memberi sokongan dan kesedaran kepada ibu lain.

"Dua minggu selepas pulang ke rumah dengan Astro, saya mengebumikan Arlo dan pengalaman pahit itu membawa saya sebagai sukarelawan Nicu.

Kayleigh mengandung anak kembar itu pada Oktober 2020 dan semua imbasannya adalah normal.

Dia tidak mengalami sebarang komplikasi sehingga mengalami sakit bersalin pada 15 Mac 2021 sebelum bergegas ke Hospital Diraja Oldham dan berada di bawah pemerhatian selama lima hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 2:51 PM