MARGARET dan Noah menimang anak kembar mereka.
MARGARET dan Noah menimang anak kembar mereka.
Agensi

Abuja: Pelik tapi benar. Seorang wanita di Nigeria mampu bergelar ibu pada usia 68 tahun sekali gus menjadi ibu tertua yang pertama kali menimang cahaya mata di Afrika.

Oddity Central melaporkan Margaret Adenug melahirkan bayi kembar lelaki dan perempuan, menerusi kaedah pembedahan, di Lagos University Teaching Hospital, dua minggu lalu.

Wanita itu hamil pada percubaan kali keempat rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF).

Kelahiran kembar menjadi kenangan paling manis buat Margaret dan suaminya, Noah Adenuga, 77.

Sejak berkahwin pada 1974, mereka berusaha mendapatkan zuriat dengan pelbagai cara.

Ia termasuk mengembara ke seluruh Afrika dan Eropah untuk mendapat rawatan.

Akhirnya doa mereka makbul pada 16 April lalu.

"Saya yakin impian kami menjadi kenyataan," kata Noah kepada CNN.

Dr Adeyemi Okunowo, yang menyambut kelahiran itu berkata, Margaret bertuah melahirkan bayi kembar tanpa masalah dan komplikasi.

Namun, pakar berkenaan menasihati ibu pada usia berkenaan harus berwaspada kerana kelahiran lanjut usia amat berisiko.

"Terdapat komplikasi ketika hamil pada usia itu seperti bayi dilahirkan pramatang.

"Dia bernasib baik, tetapi ramai yang mungkin mengalami komplikasi lain semasa atau selepas bersalin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 7:00 AM