KAPAL Jenifer antara tiga kapal yang misi terbabit menghantar bantuan kemanusiaan di Gaza. FOTO AFP
KAPAL Jenifer antara tiga kapal yang misi terbabit menghantar bantuan kemanusiaan di Gaza. FOTO AFP
AFP

Nicosia: Selepas dua minggu penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza tiba menerusi laut, kapal kedua ke wilayah itu yang membawa 400 tan bantuan mula bergerak dari Cyprus, semalam.

Bantuan itu yang dibawa flotila dianjurkan dua badan amal, World Central Kitchen dan Spanish Open Arms.

Kapal dan dua kapal penyelamat itu meninggalkan pelabuhan Larnaca berikutan diplomasi Cyprus untuk cuba membuka koridor maritim ke wilayah itu, di bawah kepungan tentera Israel sejak Oktober lalu.

Juan Camilo dari World Central Kitchen berkata, penghantaran dari Cyprus mengandungi barangan seperti beras, pasta, tepung, kekacang, sayuran dalam tin dan protein.

Katanya, Emiriah Arab Bersatu menyediakan kargo khas kurma, yang secara tradisinya dimakan untuk berbuka puasa setiap hari semasa bulan suci, Ramadan.

"Tidak cukup bantuan untuk sampai ke Gaza dan kami perlu membuka sebanyak mungkin cara," katanya dalam rakaman video dari flotila dan disiarkan ke X.

Jurucakap kerajaan Cyprus Konstantinos Letymbiotis berkata, flotila itu akan mengambil masa kira-kira 65 jam untuk sampai ke Gaza dengan sebuah dok sementara dibina untuk memudahkan tugas memunggah bantuan kemanusiaan.

Katanya, Jennifer membawa 282 bahan makanan berjumlah 237 tan serta sebuah kren beroda yang akan digunakan untuk memunggah bantuan.

Kapal ARES membawa 109 bungkusan bantuan seberat 95 tan.

"Kapal sokongan Ledra Dynamic membawa kakitangan sokongan khusus yang akan mengendalikan kren yang dibawa Jennifer," katanya.

Sebuah kapal pertama, Open Arms, tiba di Gaza dengan kapal yang dimuatkan dengan 200 tan makanan pada 15 Mac, dalam percubaan untuk koridor bantuan maritim.

Cuaca buruk di timur Laut Mediterranean turut menghalang pelayaran kedua.

Dengan trak bantuan yang tidak mencukupi memasuki Gaza melalui jalan darat lebih daripada lima bulan selepas perang, amaran kebuluran berlipat ganda, mendorong usaha mendapatkan bantuan ke wilayah itu melalui udara atau laut.

Namun, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali mengatakan, penghantaran darat satu-satunya cara untuk membekalkan bantuan dalam jumlah diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 11:41 AM