ISTANA Windsor. FOTO AFP
ISTANA Windsor. FOTO AFP
AFP

London: Selepas lebih 140 tahun, segumpal rambut putera Habsyah yang meninggal dunia pada 1879 dan artifak yang dirompak oleh British semasa pertempuran abad ke-19 dikembalikan ke negara Afrika Timur itu.

Barangan termasuk tiga cawan perak dan satu perisai itu dikembalikan kepada Kedutaan Habsyah dalam satu majlis di London, Khamis lalu.

Artifak itu dirompak semasa pertempuran Magdala pada tahun 1868 apabila 13,000 tentera British mengepung kubu Maharaja Tewodros II.

Segumpal rambut itu adalah daripada anak maharaja, Putera Alemayehu. Ia dilaporkan dikembalikan oleh keturunan Kapten Tristram Speedy.

Kapten itu adalah antara anggota ekspedisi British yang menjadi penjaga putera raja berkenaan. .

Selepas pertempuran itu, Putera Alemayehu yang berusia tujuh tahun dibawa ke England. Beliau menghabiskan dekad berikutnya di Britain tetapi meninggal dunia pada 1879, ketika usianya 18 tahun.

Atas permintaan Ratu Victoria seperti yang dilaporkan, Alemayehu dikebumikan di gereja kecil St George's Chapel di Istana Windsor, kediaman diraja di barat London.

Kerajaan British, bagaimanapun, menolak permintaan daripada keluarga putera raja untuk menghantar pulang jenazahnya kerana keperluan untuk 'memelihara maruah' orang lain yang dikebumikan di gereja itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 3:43 PM