RUMAH berusia ratusan tahun di Lavenham, Suffolk yang diancam kebakaran kerana tindakan pelancong mengadakan BBQ.
RUMAH berusia ratusan tahun di Lavenham, Suffolk yang diancam kebakaran kerana tindakan pelancong mengadakan BBQ.
Agensi

London: Penduduk tinggal di perkampungan sebenar Harry Potter di Lavenham, Suffolk, timur England berang dengan kehadiran pelancong yang didakwa mengancam kehidupan mereka.

Penghuni pekan kecil itu merasa hidup dalam bahaya selepas peminat filem berkenaan yang didakwa kerap mengadakan barbeku (BBQ) di taman dan padang.

Menurut penduduk, penggunaan BBQ pakai buang secara tidak selamat berisiko menyebabkan rumah kayu mereka terbakar disebabkan bara api yang berterbangan.

Kebanyakan kediaman di timur Cambridge itu tidak dilengkapi sistem pencegahan kebakaran, berikutan rumah lama dan mahu memelihara sifat aslinya.

"Perkara terakhir yang kami perlukan ialah kebakaran di sini, kerana hampir semua hartanah berada di teres dan api mudah merebak dengan cepat.

"Bukan semua rumah dilengkapi sistem kebakaran, jadi jika bara api BBQ terbang ke bumbung, ia dengan mudah mencetuskan kebakaran dan jadi bencana.

"Hampir mustahil untuk memadamkan api yang marak dengan cepat dan memusnahkan banyak rumah bersejarah yang tiada gantinya," kata seorang penduduk yang dilapor The Sun.

Menurut seorang lagi penduduk, semua rumah di pekan itu berusia ratusan tahun dan sistem pencegahan kebakaran tidak ada ketika awal pembinaannya.

Notis larangan mengadakan BBQ sudah diletakkan di sekeliling kampung.

Jurucakap pasukan bomba dan penyelamat Suffolk berkata, pihaknya menggalakkan pelancong supaya mengelak melakukan pembakaran dan BBQ di tempat terbuka, terutama ketika tanah kering kerana api mudah merebak.

"Kami sarankan supaya orang ramai membaca panduan mengenai bagaimana menikmati BBQ secara selamat," katanya.

Kampung itu dikunjungi ramai pelancong setiap tahun selepas menjadi lokasi penggambaran Harry Potter, dengan bangunannya disenarai sebagai Bangunan Gred Satu dan Dua, selain sebahagian hartanah tertua di England.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 1:54 PM