Taylor Swift. - FOTO AFP
Taylor Swift. - FOTO AFP
AFP

Brussels: Seorang pembantu profesor di Ghent University memperkenalkan kursus sastera Taylor Swift dengan menjadikan lirik lagu dihasilkan penyanyi berkenaan sebagai rujukan utama.

Elly McCausland, pembantu profesor bagi kursus kesusasteraan di universiti berkenaan memperkenalkan kursus itu bagi menyuntik minat terhadap keindahan penulisan Bahasa Inggeris dan tema yang diketengahkan dalam lagu-lagu Swift.

Menurutnya, beliau sememangnya peminat setia Swift dan memahami setiap lirik yang dihasilkan penyanyi berkenaan.

"Bagaimanapun kursus Sastera (versi Taylor Swift) bukanlah untuk mengumpulkan peminat Swift sebaliknya untuk menjadikan sastera lebih mudah diakses.

"Perkara paling penting adalah untuk mengubah persepsi orang ramai bahawa sastera Inggeris bukanlah semata-mata timbunan buku lama yang sekian lama berada di perpustakaan sebaliknya sastera Inggeris juga berubah mengikut peredaran masa," katanya.

Kursus kendalian McCausland menjadikan lirik dihasilkan Swift sebagai langkah pertama mengajak orang ramai mengenali karya sastera lebih hebat seperti dihasilkan William Shakespeare, Charlotte Bronte, Geoffrey Chaucer dan William Thackeray.

Kursus berkenaan menjadi popular dan beliau menerima permintaan untuk penyertaan dari luar kampus.

Walaupun kursus kendalian McCausland boleh dianggap yang pertama seumpamanya di Eropah, namun Institut Clive Davis, Universiti New York dipercayai yang pertama melancarkan kursus memfokus kepada penulis lagu, tahun lalu.

Di London, Universiti Queen Mary pada Julai, memperkenalkan kelas musim panas berjudul 'Sastera dan Taylor Swift' yang memberi penekanan kepada hasil kerja Swift melalui sudut sastera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 4:31 PM