LELAKI berjalan berhampiran ATM Bank of Ireland di Belfast, Ireland Utara. FOTO fail AFP
LELAKI berjalan berhampiran ATM Bank of Ireland di Belfast, Ireland Utara. FOTO fail AFP
Agensi

Dublin: Bank of Ireland memohon maaf, pada Rabu, selepas masalah teknikal menyebabkan pelanggan boleh mengeluarkan atau memindahkan lebih banyak wang daripada akaun mereka daripada jumlah wang yang mereka miliki.

Portal euronews melaporkan masalah teknikal itu menyebabkan orang ramai beratur di luar mesin teler automatik (ATM) di seluruh negara pada Selasa.

Keadaan itu berlarutan ke malam kerana khabar angin tersebar bahawa mesin itu digunakan untuk mengeluarkan 'wang percuma', hingga polis terpaksa campur tangan.

Beberapa laporan dalam media Ireland mengatakan bahawa pelanggan yang tiada wang dalam akaun mereka boleh mengeluarkan sehingga 1,000 euro (kira-kira RM5,049).

Bank of Ireland memberi amaran kepada pengguna ATM dan aplikasi kewangan bahawa wang yang dibawa keluar, akhirnya akan didebitkan daripada akaun orang ramai.

"Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf atas gangguan yang disebabkan oleh gangguan ini. Kami tahu bahawa kami gagal memberikan tahap perkhidmatan yang pelanggan kami harapkan daripada kami", kata kenyataan lanjut bank itu.

Menteri Kewangan Ireland Michael McGrath berkata, beliau sudah meminta bank pusat negara itu untuk menyiasat perkara berkenaan.

"Gangguan kepada perkhidmatan perbankan boleh memberi kesan ketara kepada kehidupan peribadi orang ramai dan terhadap perjalanan perniagaan.

"Pelanggan sememangnya menjangkakan kualiti perkhidmatan yang tinggi dan boleh mendapat akses tanpa gangguan kepada perkhidmatan," katanya.

Bank pusat Ireland sudah pun mendenda Bank of Ireland kerana kelemahan dalam sistem teknologi maklumat (IT) bank itu, dan berkata ia sedang memantau implikasi kejadian.

Brendan Burgess, pengasas laman web AskAboutMoney.com, memberitahu penyiar RTE, bank itu perlu memperbaiki sistem IT.

"Bagaimanapun, saya merasakan bahawa jika anda tahu anda tidak mempunyai wang tetapi anda mengambil 1,000 euro (kira-kira RM5,049) daripada akaun bank, itu adalah penipuan.

"Dan itu bukan masalah yang mempunyai kaitan dengan sistem Bank of Ireland," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 11:54 AM