AHLI keluarga mengunjungi kubur mangsa gempa bumi di Adiyaman, pada hari pertama Aidilfitri, Jumaat lalu. FOTO AFP.
AHLI keluarga mengunjungi kubur mangsa gempa bumi di Adiyaman, pada hari pertama Aidilfitri, Jumaat lalu. FOTO AFP.
Bernama-Anadolu

Istanbul: Sejumlah 50,783 orang disahkan terkorban dalam gempa bumi berkembar yang melanda Turkiye pada awal tahun, menurut menteri dalam negerinya pada Sabtu.

Agensi Anadolu melaporkan Suleyman Soylu dalam temubual dengan CNN Turk berkata, terdapat 297 laporan orang hilang dengan 30 daripadanya berusia di bawah enam tahun.

Seramai 20 orang pula berusia antara 7 hingga 12 dan 26 orang antara 13 hingga 17 tahun.

"Seramai 86 kanak-kanak hilang dan bakinya adalah orang dewasa," katanya.

Beliau berkata, jumlah migran yang meninggal dunia mencapai 7,302 orang.

Proses mengenal pasti identiti 985 orang sedang dilakukan, kata Soylu.

Menurutnya, sampel DNA sudah diambil daripada pengadu orang hilang dari Idlib, Afrin, Jarablus, Azez dan Mare semasa proses pengecaman.

"Kami cuba membanding dan memadankan (DNA) mereka bersama-sama. Jadi bukan semua 985 ini adalah warga Republik Türkiye. Ada juga warga asing dalam kalangan mereka.

"Ada yang tinggal bersendirian. Ada yang tidak mempunyai saudara. Sebab itu ada beberapa kes yang kami tidak dapat DNA," katanya.

Soylu juga memberitahu proses mengeluarkan sisa runtuhan hampir selesai.

"Kira-kira 50,000 daripada 57,000 sisa runtuhan dikeluarkan dari 11 wilayah, kebanyakannya di Hatay. Kami maklumkan akan selesai menjelang Aidilfitri, manakala semua bangunan yang runtuh sudah dibersihkan.

"Dalam tempoh 10 hari, kami akan mulakan peruntuhan bangunan rosak teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 12:04 PM