LAMPU hiasan sempena Ramadan di tengah London. FOTO Reuters
LAMPU hiasan sempena Ramadan di tengah London. FOTO Reuters
Agensi

London: Buat pertama kali, West End di London diterangi 30,000 lampu sebagai menandakan ketibaan bulan suci Ramadan.

BBC melaporkan, Jalan Coventry yang menghubungkan Dataran Leicester dengan Piccadilly diterangi cahaya 'Happy Ramadan'.

Lampu itu 'dinyalakan' Datuk Bandar London, Sadiq Khan iaitu antara 1.3 juta umat Islam di London yang menyambut Ramadan.

Acara itu dianjurkan Ayshea Desai, yang diilhamkan daripada lampu Krismas yang digemarinya.

"Saya mempunyai impian untuk melakukannya seperti lampu Krismas.

"Saya masih ingat melihat lampu Krismas bersama kakak ketika membesar dan pernah berpeluang tinggal di Timur Tengah, saya mahu membawa kegembiraan dan keajaiban itu ke London, bandar kelahiran saya," katanya yang memulakan projek itu tiga tahun lalu.

Katanya, beliau sangat terharu dengan sambutan pada bulan penting bagi umat Islam itu.

"Saya ingin meningkatkan kesedaran itu juga untuk memberitahu penduduk lain bahawa bulan ini sangat penting bagi kami. Ia adalah bulan kegemaran saya dalam setahun dan saya bersyukur kerana berada di sini," katanya.

Di lokasi lain di London, iftar (buka puasa) terbuka akan diadakan di Muzium Victoria dan Albert di selatan Kensington untuk orang Islam dan bukan Islam.

Kelab bola sepak Chelsea juga akan mengadakan iftar terbuka di tepi padang di Stamford Bridge, yang akan menjadi pertama buat kelab dan stadium Liga Perdana itu.

Stadium Wembley akan melakukan perkara sama pada akhir bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 10:53 AM