APLIKASI TikTok dilihat menerusi iPhone di Ottawa, Ontario, Kanada. FOTO AP
APLIKASI TikTok dilihat menerusi iPhone di Ottawa, Ontario, Kanada. FOTO AP
Agensi

Madrid: Tindakan keterlaluan lelaki Sepanyol yang menampar isterinya ketika bersiaran langsung di TikTok membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara setahun walaupun mangsa enggan membuat laporan polis.

Portal NDTV melaporkan, mahkamah di bandar utara Soria mendapati lelaki itu bersalah atas keganasan terhadap wanita, justeru melarangnya daripada berada dalam lingkungan 300 meter dari isterinya atau berkomunikasi dengannya selama tiga tahun atau memperoleh senjata sepanjang tempoh sama.

Insiden ketika 'battle' di TikTok dengan pemenang ditentukan oleh penonton, membabitkan seorang wanita dan tiga lelaki, pada awal pagi 28 Januari.

Dalam imej yang tular di Sepanyol, lelaki itu dilihat menampar muka isterinya dengan kuat sehingga kepala wanita itu berpaling dan mangsa kemudiannya menangis.

"Defendan menyerang isterinya secara terbuka di hadapan ribuan penonton, dengan tujuan menjatuhkan maruah dan mengaibkannya di khalayak ramai.

"Tiada keperluan untuk aduan daripada mangsa dalam jenayah keganasan jantina. Tertuduh harus dihukum sebaik sahaja didapati dengan jelasnya melakukan kesalahan berkenaan.

"Menampar secara langsung sudah memadai untuk pihak berkuasa bertindak dan melindungi mangsa, tidak kira sama ada dia (mangsa) merelakannya," katanya.

Wanita itu menolak untuk mendakwa suaminya.

Bagaimanapun, mahkamah memaklumkan polis sudah dipanggil ke rumah pasangan itu, sebelum ini kerana perselisihan antara tertuduh dan isterinya yang membuktikan terdapat penganiayaan berterusan.

Kerajaan Sepanyol berusaha memerangi keganasan rumah tangga sebagai keutamaan.

Parlimen pada 2004 meluluskan undang-undang pertama Eropah dengan tujuan secara khususnya adalah membanteras keganasan berasaskan jantina.

Susulan itu, mahkamah khas ditubuhkan selain tawaran bantuan guaman percuma untuk mangsa, dan menyediakan talian hotline yang tidak akan muncul pada bil telefon pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 12:16 PM