PAUL Antony. FOTO Agensi
PAUL Antony. FOTO Agensi
AFP

Paris: Mahkamah Rayuan Paris pada Isnin, menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang pempengaruh atas pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih tiga juta euro (kira-kira RM13 juta).

Paul Antony, 25, yang dikenali sebagai PA7 melakukan tuntutan palsu bagi pembayaran perniagaan daripada kerajaan semasa krisis Covid-19.

Tuntutan itu dilakukan bagi pihak pekerja sendiri dan firma kecil yang dikenali menerusi laman sosial, Snapchat, dengan mengenakan potongan 40 peratus terhadap mereka.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya bersama seorang rakan, Julien M, sejak Mac 2020.

Mahkamah mendapati, tertuduh memperoleh komisen lebih tiga juta euro daripada 700 kes yang difailkan berjumlah hampir 34 juta euro (kira-kira RM158 juta) iaitu kira-kira 7.5 juta euro (RM35 juta) yang diterima antara Mac 2020 sehingga Julai 2021.

Tertuduh dan Julien menghabiskan masa berbulan-bulan mempamerkan kekayaan di Dubai kepada 51,000 pengikut di Snapchat dan 13,000 pengikut di Instagram, sebelum mereka ditahan.

Antony mengaku bersalah atas penipuan dan pengubahan wang haram daripada jenayah terancang dalam perbicaraan kes sebelum ini, namun memfailkan rayuan terhadap hukuman itu.

Mahkamah rayuan mengurangkan tempoh penjara daripada tujuh kepada lima tahun dan dilarang menjalankan perniagaan selama 10 tahun.

Peguam Antony, Carole Foissy dan David-Olivier Kaminski berkata, mahkamah menggunakan undang-undang dengan baik dan adil.

Julien juga menerima pengurangan hukuman penjara daripada lima tahun kepada tiga tahun dan menjalani tempoh 18 bulan percubaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 12:11 PM