FARUK Fatih Ozer. FOTO Agensi
FARUK Fatih Ozer. FOTO Agensi
AFP

Ankara: Pengasas platform tukaran mata wang kripto Turkiye yang melarikan diri ke Albania, dan dua abangnya, masing-masing dihukum penjara 11,196 tahun, lapor agensi berita negara, Anadolu, pada Jumaat.

Pendakwa raya sebelum itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 40,562 tahun kepada bos Thodex, Faruk Fatih Ozer, 29, itu kerana pengubahan wang haram, penipuan dan menubuhkan organisasi jenayah.

"Jika saya mahu menubuhkan sebuah organisasi jenayah, saya tidak akan bertindak begitu amatur," kata Ozer di mahkamah, seperti dilaporkan Anadolu.

Dua abang Ozer, Serap dan Guven, menerima hukuman sama iaitu penjara 11,196 tahun pada prosiding Khamis lalu, selepas tempoh perbicaraan yang singkat, kata laporan media Turkiye.

Negara itu terkenal kerana mengeluarkan hukuman penjara dengan tempoh lama. Ia menjadi lebih biasa selepas pemansuhan hukuman mati pada 2004 untuk membantu usaha Turkiye bagi menyertai Kesatuan Eropah.

Ozer pada mulanya dilaporkan melarikan diri dari Turkiye pada April 2021 bersama-sama aset pelabur bernilai AS$2 bilion (kira-kira RM9.4 bilion), walaupun angka itu dipertikaikan.

Pendakwa raya berkata, Ozer memindahkan 250 juta lira (kira-kira RM43.5 juta) dalam aset pengguna ke tiga akaun rahsia ketika melarikan diri dari Turkiye pada April 2021, dengan sebahagian besar wang itu berakhir di bank Malta.

Dakwaan itu menyatakan tiga beradik Ozer itu secara keseluruhannya menyebabkan pelanggan kerugian 356 juta lira (kira-kira RM62 juta).

Kes itu menjadi tajuk utama berita tempatan kerana bertepatan dengan ledakan mata wang kripto di Turkiye, namun sebahagian besarnya kemudian menjadi perlahan susulan peraturan lebih ketat yang diperkenalkan kerajaan.

Rakyat Turkiye mula beralih kepada pelbagai mata wang kripto sebagai pertahanan terhadap kejatuhan dalam nilai lira yang bermula lebih dua tahun lalu.

Popularitinya Ozer melonjak seperti seorang selebriti selepas bergambar bersama tokoh prokerajaan ultranasionalis.

Dia ditangkap di Albania, tahun lalu, susulan waran tangkap antarabangsa daripada Polis Antarabangsa (Interpol).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 11:33 AM