GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Reuters

Milan: Polis menahan 49 suspek perusuh dalam serbuan di pinggir Milan, termasuk lima wanita, salah seorang daripadanya dituduh mengetuai unit tempatan mafia 'Ndrangheta'.

Jarang sekali wanita mempunyai peranan kepimpinan dalam dunia mafia yang didominasi lelaki.

Wanita itu yang dituduh memerintah unit 'Ndrangheta' di Rho, sebuah bandar di pinggir Milan didakwa 'lebih kejam daripada lelaki, kata pendakwa raya Milan Alessandra Cerretti dalam sidang akhbar, menurut media tempatan.

Kumpulan perusuh itu berdepan tuduhan termasuk peras ugut, pengedaran dadah, keganasan dan pembakaran, kata polis dalam satu kenyataan.

Polis menambah, ada yang pernah menakutkan orang ramai dengan mengugut untuk menghantar anggota badan haiwan kepada mereka.

Siasatan itu menunjukkan sejauh mana 'Ndrangheta', organisasi mafia paling berkuasa di Itali meluaskan kuasanya dari kawasan selatan di Calabria ke utara perindustrian, kata Pengarah Direktorat Antijenayah Pusat Polis Itali, Francesco Messina,

Dalam operasi berasingan, polis menahan 37 lagi orang yang dikaitkan dengan mafia Camorra dalam serbuan di luar bandar Naples berikutan siasatan tiga tahun terhadap pemerasan dan pengedaran dadah.

Menggariskan kebimbangan mengenai kadar jenayah terancang yang semakin meningkat, kerajaan Itali pada Selasa membubarkan majlis perbandaran di bandar Anzio, di selatan Rom, dengan mengatakan ia sudah 'dimasuki' oleh mafia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 10:05 AM