BENDERA EU, Ukraine dan Moldova. FOTO Reuters.
BENDERA EU, Ukraine dan Moldova. FOTO Reuters.
AFP

Brussels: Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis bersetuju memberi status calon kepada Ukraine dan Moldova, sebagai tanda sokongan dalam menghadapi perang Rusia.

"Satu detik bersejarah. Hari ini menandakan satu langkah penting (kerajaan) anda dalam laluan menyertai EU," kata Ketua EU Charles Michel dalam ciapan Twitter ketika sidang kemuncak di Brussels.

Mengulas lanjut perkara itu, katanya, masa depan mereka adalah bersama EU.

Ukraine memohon untuk menjadi calon EU dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukannya di Eropah, beberapa hari selepas Moscow melancarkan pencerobohan yang menyaksikan ribuan penduduk Ukraine melarikan diri.

Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, gerakan itu menghantar "mesej jelas" kepada Kremlin bahawa EU menyokong aspirasi pro-barat Ukraine.

"Kita terhutang budi kepada rakyat Ukraine yang berjuang untuk mempertahankan nilai, kedaulatan mereka dan integriti wilayah mereka," katanya.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menerusi Twitter memuji keputusan EU dan menganggapnya "detik bersejarah dan unik" dalam hubungan EU-Ukraine.

Beliau juga berkata, masa depan Ukraine dalam EU.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 10:42 AM