Pelarian Ukraine menunggu unyuk mendapatkan ujian saringan Covid-19 sebaik tiba di stesen kereta api di Stuttgart. Foto AFP
Pelarian Ukraine menunggu unyuk mendapatkan ujian saringan Covid-19 sebaik tiba di stesen kereta api di Stuttgart. Foto AFP
Reuters

Stockholm: Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) mengesyorkan negara berkaitan menyediakan ujian saringan Covid-19 percuma kepada pelarian Ukraine.

Langkah itu kata ECDC bagi mengekang penularan wabak berikutan lebih tiga juta orang Ukraine meninggalkan tanah air mereka yang dilanda perang ketika ini.

Katanya, penyakit berjangkit dan konflik selalunya bergerak seiring dan risiko jangkitan merebak boleh diburukkan lagi kerana kadar vaksinasi Covid-19 di Ukraine secara keseluruhannya rendah pada kadar 35 peratus berbanding purata Kesatuan Eropah (EU) sebanyak 71.7 peratus.

Menurut ECDC, mereka yang melarikan diri dari negara itu harus ditawarkan sepenuhnya vaksin dan dos penggalak Covid-19, jika mereka tidak mempunyai bukti inokulasi sebelumnya dengan fokus diberikan kepada mereka yang berisiko lebih besar untuk dijangkiti wabak itu.

Dilaporkan, beberapa pelarian Ukraine melarikan diri ke negara berhampiran di Eropah seperti Poland, Slovakia dan Romania manakala yang lain sedang bergerak lebih jauh ke barat untuk melarikan diri daripada pencerobohan Rusia.

Pusat penerimaan pelarian diketahui berisiko lebih besar untuk wabak penyakit.

ECDC berkata, negara terbabit harus membuat ujian di pusat berkenaan dan cuba mengasingkan mereka yang menunjukkan gejala.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa berkata, angka-angka yang menunjukkan peningkatan global dalam kes Covid-19 boleh menandakan masalah yang lebih besar kerana beberapa negara juga melaporkan penurunan kadar ujian.

WHO memberi amaran kepada semua negara untuk terus berwaspada terhadap virus itu.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 11:39 AM