HAMPIR 160,000 penduduk Eropah disahkan dijangkiti virus HIV yang boleh menyebabkan penyakit AIDS.
HAMPIR 160,000 penduduk Eropah disahkan dijangkiti virus HIV yang boleh menyebabkan penyakit AIDS.
Reuters

LONDON : Lebih daripada 130,000 penduduk disahkan dijangkiti virus HIV tahun lalu di Eropah Timur, jumlah tertinggi untuk rantau itu manakala Eropah Barat mencatatkan penurunan kes.

Kesatuan Eropah dan Kawasan Ekonomi Eropah menyaksikan penurunan dalam kadar 2017, kebanyakannya berpunca daripada pengurangan 20 peratus sejak 2015 di kalangan golongan homoseksual.

Menurut data dari pejabat serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC), hampir 160,000 penduduk Eropah disahkan dijangkiti virus HIV yang boleh menyebabkan penyakit AIDS.

“Sukar untuk bercakap mengenai khabar baik jika jumlah penduduk dijangkiti HIV semakin meningkat,” kata pengarah pejabat serantau WHO, Zsuzsanna Jakab.

Sambil menggesa kerajaan dan pegawai kesihatan menyedari betapa seriusnya keadaan itu, beliau turut menggesa pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya.

Agensi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mengenai AIDS, UNAIDS pada Julai lalu memberi amaran bahawa sikap mudah berpuas hati menyebabkan usaha memerangi wabak itu tidak menunjukkan sebarang kejayaan. Hampir 37 bilion penduduk dunia dijangkiti virus terbabit.

Rantau Eropah WHO terdiri daripada 53 negara dengan jumlah keseluruhan penduduk hampir mencecah 900 juta. Kira-kira 508 juta penduduk menetap di 28 negara anggota Kesatuan Eropah termasuk Iceland, Liechtenstein dan Norway.

Laporan bersama itu berkata, sebilangan pesakit yang dijangkiti HIV hanya menyedari keadaan itu apabila sudah terlewat dan bermakna ia sudah terlebih awal disebarkan kepada individu lain.

Sejak AIDS mula menjadi satu wabak pada tahun 1980an, lebih daripada 77 juta penduduk dunia sudah dijangkiti virus HIV. Lebih separuh daripada mereka, 35.4 juta meninggal dunia akibat AIDS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 10:44 AM