TENTERA Ukraine berkawal di checkpoint dekat Brovary, di barisan timur di Kyiv. FOTO EPA
TENTERA Ukraine berkawal di checkpoint dekat Brovary, di barisan timur di Kyiv. FOTO EPA
AFP

Kyiv: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa memberitahu penggubal undang-undang negaranya bahawa ia menganggarkan antara 2,000 dan 4,000 askar Rusia terbunuh dalam pencerobohan Moscow yang berusia hampir dua minggu ke atas Ukraine.

Penilaian itu dibuat ketika pemimpin pertahanan dan perisikan AS menggambarkan secara terang-terangan Presiden Rusia Vladimir Putin mungkin akan terus melaksanakan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine dalam menghadapi penentangan global yang besar.

Ditanya pada Jawatankuasa Perisikan Dewan yang mendengar bilangan tentera Rusia yang terkorban setakat ini, Pengarah Agensi Perisikan Pertahanan Pentagon Leftenan Jeneral Scott Berrier berkata, 'antara 2,000 dan 4,000'.

Bagaimanapun, Berrier berkata, anggaran itu dianggap "keyakinan rendah" kerana ia dikumpul menggunakan sumber risikan dan data sumber terbuka.

Rusia, dalam kenyataan pada 2 Mac berkata, 498 askarnya terbunuh, namun Ukraine percaya angka itu lebih tinggi.

Pengarah Perisikan Pusat, William Burns memberitahu panel dewan bahawa dia percaya Ukraine dan perang yang didorong oleh Moscow adalah soal peribadi yang mendalam untuk Putin.

"Dia mencampurkan rungutan dan cita-cita yang sedang membara. Beberapa minggu akan datang akan teruk di mana (Putin) menggandakannya dengan tidak mengambil kira korban awam," katanya.

Tetapi dia juga menyatakan keyakinan bahawa Ukraine akan terus "menentang dengan sengit dan efektif".

Pengarah Perisikan Kebangsaan, Avril Haines, berkata Putin tidak menjangkakan skop penuh penolakan ekonomi, perdagangan dan diplomatik global terhadap Rusia.

Tetapi katanya, penilaian perisikan bahawa Putin "tidak mungkin dihalang daripada masalah seperti itu," dan melihat ia sebagai "perang yang dia tidak boleh kalah".

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 11:05 AM