GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Berlin: Jerman akan menamatkan kebanyakan sekatan Covid-19, bulan depan.

Menurut draf rasmi kerajaan yang dilihat AFP, sebagai langkah pertama, sekatan akan dilonggarkan bagi membolehkan lebih ramai bertemu secara tertutup.

Akses ke kedai akan dibuka kepada semua tanpa semakan sama ada individu itu diberi vaksin atau menjalani ujian pengesanan Covid-19.

Mulai 4 Mac, akses ke restoran akan dibuka kepada orang yang tidak divaksin, juga jika mereka menunjukkan bukti ujian negatif.

Dalam langkah terakhir, sekatan sosial, budaya dan ekonomi akan ditarik balik secara beransur-ansur menjelang permulaan musim bunga pada 20 Mac 2022, menurut draf yang akan diluluskan pemimpin persekutuan dan negeri pada Rabu.

Selepas tarikh itu, ekonomi Eropah akan bergantung kepada langkah perlindungan asas termasuk pemakaian pelitup muka perubatan di khalayak ramai.

Peraturan yang memerlukan majikan membenarkan kakitangan bekerja dari rumah juga akan ditarik balik pada masa itu, bergantung kepada keadaan.

Selama beberapa minggu, Jerman mengehadkan akses ke bar dan restoran hanya kepada mereka yang menerima suntikan penggalak atau yang diuji, selain pulih sepenuhnya daripada Covid-19.

Sekatan juga diwujudkan dengan mengekalkan perhimpunan persendirian kepada 10 orang, atau dua isi rumah jika ada orang yang tidak divaksinasi.

Canselor Olaf Scholz dijadual bertemu dengan pemimpin 16 negeri di Jerman pada Rabu mengenai langkah seterusnya dalam menangani wabak itu.

Pada Isnin, Jerman melaporkan 76,465 jangkitan Covid-19 baharu dalam tempoh 24 jam lalu dan 42 kematian yang minggu kedua berturut-turut menunjukkan kadar penurunan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 9:54 AM