ANTARA restoran yang masih ditutup akibat lockdown di Jerman. FOTO EPA
ANTARA restoran yang masih ditutup akibat lockdown di Jerman. FOTO EPA
BERNAMA

Berlin: Jerman pada Rabu melanjutkan sekatan pergerakan (lockdown) sehingga 7 Mac berikutan kebimbangan terhadap penuralan varian baharu Covid-19, lapor Agensi Anadolu.

Canselor Angela Merkel berkata tindakan pencegahan yang ketat didapati berkesan mengurangkan jumlah jangkitan baharu dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tetapi mutasi baharu Covid-19 kini mencetuskan kebimbangan.

"Kita sedar mutasi baharu itu satu realiti dan ia akan meningkatkan (jumlah kes)," katanya.

Institut Robert Koch Jerman mengesahkan sebelum ini varian baharu United Kingdom (UK), Afrika Selatan dan Brazil, turut dikesan di negara ini.

Institut itu turut memberi amaran varian UK lebih mudah menular dan menyebabkan penyakit lebih serius.

Merkel dan perdana menteri menyasarkan untuk mengurangkan jangkitan kepada maksimum 35 kes setiap 100,000 orang dalam tempoh tujuh hari.

Institut Robert Koch pada Rabu melaporkan 8,072 jangkitan dan 813 kematian baharu di Jerman. Kes baharu jangkitan menunjukkan penurunan.

Jumlah keseluruhan kes kini melebihi 2.29 juta dengan sekurang-kurangnya 62,969 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 1:36 PM