PERDANA Menteri Jepun, Fumio Kishida ketika mesyuarat pemimpin negara anggota G7. FOTO AFP/Jiji Press
PERDANA Menteri Jepun, Fumio Kishida ketika mesyuarat pemimpin negara anggota G7. FOTO AFP/Jiji Press
BERNAMA

Berlin: Pemimpin negara anggota G7 pada Khamis sepakat mengenakan sekatan tambahan lebih 'ketat' ke atas Russia berikutan pencerobohan ke atas Ukraine, lapor Jiji Press.

"Kami (G7) akan mengenakan sekatan ekonomi dan kewangan lebih ketat. Kami menyeru semua pihak dan masyarakat antarabangsa mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu," menurut kenyataan bersama pemimpin G7 selepas mengadakan mesyuarat secara dalam talian.

Pemimpin G7 berkata, serangan Russia ke atas Ukraine 'tanpa provokasi dan tidak berasas' dan disifatkan satu 'ancaman serius kepada undang-undang antarabangsa, boleh memberi kesan sehingga ke Eropah.

Sambil menggesa Russia menghentikan segera serangan itu, pemimpin G7 menegaskan "sokongan mereka terhadap rakyat Ukraine."

Terdahulu pada Khamis, Canselor Jerman Olaf Scholz berkata G7, forum ekonomi paling berkuasa di dunia, akan bersatu mengambil tindakan tegas.

Anggota G7 akan memutuskan sekatan tambahan dengan kerjasama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU), katanya.

Selain itu, Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah mengumumkan sekatan terhadap Russia selepas Moscow pada Isnin mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah timur Ukraine yang dikawal puak pemisah pro-Russia.

G7 dianggotai Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom dan AS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 12:07 PM