Seorang lelaki berjalan di pasar Krismas di Dortmund, Jerman. - FOTO AFP
Seorang lelaki berjalan di pasar Krismas di Dortmund, Jerman. - FOTO AFP
AFP

Berlin: Canselor Jerman, Angela Merkel dan bakal penggantinya, Olaf Scholz, akan bertemu dengan pemimpin wilayah negara itu hari ini bagi memuktamadkan langkah baharu mengekang lonjakan kes Covid-19, yang antara lain mewajibkan suntikan vaksin.

Angka jangkitan mula mencatatkan rekod di Jerman dalam tempoh beberapa minggu lalu, sehingga mula mencemaskan hospital apabila pesakit mula bertambah melebihi kemampuan dan terpaksa dihantar ke tempat lain untuk rawatan.

Meskipun kadar jangkitan turun sedikit dalam tempoh seminggu, parasnya masih berlegar pada 442.9 jangkitan baharu bagi setiap 100,000 orang pada Rabu, dengan 67,186 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Merkel, Scholz dan pemimpin 16 negeri lain memperketat sekatan Covid-19 dua minggu lalu tetapi kali ini perlu duduk semeja sekali lagi bagi membincangkan langkah lebih ketat dan dijangka akan memperkemaskan kedudukan.

Selepas mesyuarat pada Selasa lalu, Scholz berkata beliau cenderung untuk mewajibkan suntikan vaksinasi bagi semua rakyat Jerman selain mahu ahli Parlimen mengundi berhubung langkah itu sebelum hujung tahun.

"Terlalu ramai orang yang tidak divaksin," katanya kepada stesen televisyen Bild sambil menambah kemungkinan mewajibkan suntikan vaksin adalah wajar untuk melindungi semua.

Ramai pakar mendakwa Jerman adalah punca meletusnya gelombang keempat Covid-19 kerana ada kaitan dengan kadar vaksinasi rendah iaitu sekitar 68 peratus, berbanding negara Kesatuan Eropah (EU) lain seperti Sepanyol yang mencapai 79 peratus dan Portugal (86 peratus).

Menurut Shcolz, syarat mewajibkan vaksin sepatutnya dikuatkuasa pada awal Februari atau Mac.

Beliau juga berjanji ahli Parlimen akan diberi kebebasan untuk mengundi mengikut pilihan masing-masing.

Kerajaan pimpinan Merkel sentiasa menolak pemberian vaksin secara mandatori tetapi langkah itu sekarang disokong oleh ahli politik merentasi spektrum.

Jurucakap Merkel pada Rabu lalu tidak menyokong langkah itu tetapi mengatakan Jerman 'dalam keadaan pandemik di mana ada kemungkinan baharu perlu difikirkan'.

Awal bulan ini, Jerman telah mengumumkan rancangan untuk mewajibkan pekerja kesihatan dan tentera disuntik vaksin Covid-19.

Ia akan menyaksikan Jerman mengikut jejak langkah negara jiran Austria, yang merancang mewajibkan vaksinasi mulai Februari.

Greece juga telah mengumumkan suntikan mandatori untuk individu berusia lebih 60 tahun, dengan mereka yang tidak divaksinasi akan didenda jika tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 6:45 PM