ANTARA Kereta kebal milik Rusia yang menyertai latihan ketenteraan itu. FOTO Reuters
ANTARA Kereta kebal milik Rusia yang menyertai latihan ketenteraan itu. FOTO Reuters
AFP

Moscow:Tentera Rusia, pada Selasa, menjalankan latihan ketenteraan membabitkan 6,000 anggota dengan sekurang-kurangnya 60 jet pejuang di timur negara itu yang bersempadan Ukraine dan Semenanjung Crimea dikuasai Rusia.

Tentera daerah selatan negara itu menyifatkan latihan tembakan adalah sebahagian daripada latihan kesiapsiagaan pertempuran ketika ketegangan memuncak antara Moscow dan Barat, berhubung Crimea.

"Setiap unit akan menjalani latihan dengan misi berskala besar termasuk mengendalikan latihan sokongan taktikal menyeluruh," kata Kementerian Pertahanan negara itu dalam kenyataan.

Katanya, latihan pertempuran itu juga akan menggunakan semua jenis pesawat udara, peluru berpandu dan kapal Armada Laut Hitam dan Caspian Flotilla.

Jet pejuang dan pesawat pengebom akan menjalani latihan serangan udara dengan jarak sasaran maksimum.

Selain itu, pelbagai lagi latihan ketenteraan yang akan dijalankan menurut agensi berita Rusia yang memetik Kementerian Pertahanan.

Latihan ini akan dijalankan di Crimea serta timur Rostov dan Krasnodar.

Namun, tiada sebarang indikasi mengenai tempoh masa latihan itu alan dijalankan.

Negara Barat menuduh Rusia mengumpulkan 100,000 tentera di sempadan Ukraine sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang pencerobohan dari negara jirannya yang pro-Barat.

Pengumpulan tentera itu sudah mencetuskan krisis terburuk dalam hubungan Timur-Barat, sejak Perang Dingin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 7:01 AM