Pasukan tentera Ukraine bersedia menghadapi serangan kumpulan pemisah pro-Russia. FOTO AFP
Pasukan tentera Ukraine bersedia menghadapi serangan kumpulan pemisah pro-Russia. FOTO AFP
AFP

Kiev: 10 tentera Ukraine cedera manakala tiga lagi terbunuh dalam pertempuran yang kembali meletus di timur negara itu.

Pihak tentera dalam satu kenyataan memaklumkan, kumpulan pemisah pro-Rusia melepaskan tembakan ke arah tentera Ukraine menggunakan peluru artileri, bom tangan, peledak, pelancar dan dron dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurutnya, dalam sebahagian besar serangan di wilayah Donetsk itu menyebabkan dua individu terbunuh pada Sabtu lalu dan 10 lagi cedera, manakala individu ketiga meninggal dunia semalam.

"Tiada mangsa dalam kalangan penduduk tempatan," katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, tentera Ukraine terbabit dalam konflik dengan pejuang pemisah di wilayah Donetsk dan Lugansk, selepas Russia menawan Crimea pada 2014.

Sekurang-kurangnya 53 tentera Ukraine terbunuh sejak awal tahun ini, berbanding sejumlah 50 sepanjang tahun lalu manakala kumpulan pemisah memaklumkan kehilangan lebih 30 tentera sejak awal tahun ini.

Ukraine dan sekutu Barat mendakwa Russia menghantar tentera dan senjata bagi menyokong kumpulan pemisah, namun dinafikan Moscow.

Jumaat lalu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, tidak menolak kemungkinan 'perang habis-habisan' dengan Russia akan berlaku.

Bagaimanapun, jurucakap Presiden Russia, Vladimir Putin, Dmitry Peskov, menyifatkan kenyataan itu sebagai satu 'malapetaka'.

Russia dan Belarus melancarkan latihan ketenteraan membabitkan 200,000 anggota, yang juga antara latihan terbesar di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan juga pada Jumaat lalu.

April lalu, Russia menghimpunkan sekitar 100,000 tentera di sempadan Ukraine, yang mencetuskan kebimbangan konflik antara dua negara itu bakal memuncak, namun Moscow kemudian mengumumkan menarik balik tenteranya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 9:20 AM