TOMAS Hromjak bersama kanak-kanak di destinasi persinggahannya.
TOMAS Hromjak bersama kanak-kanak di destinasi persinggahannya.
Agensi

Bratislava: Ketika semua sempadan negara ditutup, lelaki ini dianggap bertuah kerana menghabiskan masanya di destinasi unik yang tidak pernah dia bayangkan.

Tomas Hromjak, dari Kosice, Slovakia sanggup meninggalkan kerjaya korporatnya dan memulakan rancangannya mahu mengelilingi dunia.

Antaranya, lelaki ini berhasrat untuk mengembara ke New Zealand, Australia, Los Angeles, Colombia, Kemboja, Indonesia, Bolivia dan Jerman, mulai Disember 2019.

Menurutnya, berikutan penularan Covid-19, dia pernah terkandas selama enam bulan di destinasi yang pada mulanya dirancang untuk lawatan dua minggu.

"Ketika berita mengenai virus itu tersebar, saya sudah singgah di sekitar Asia termasuk Singapura, Vietnam dan Myanmar... dan tidak begitu mengambil serius perkara itu.

"Segelintir pengembara sudah berhenti, tetapi saya masih meneruskan misi ke Tonga, sebuah negara daripada 170 pulau di Pasifik Selatan pada Mac 2020 dengan rancangan asal singgah di situ untuk 15 hari saja.

"Tetapi negara itu ditutup selepas saya tiba dan sejak itu saya terperangkap di kepulauan itu selama 222 hari," katanya.

Di sebalik rancangan asalnya tersasar itu, katanya dia bersyukur kerana dapat berlindung di pulau kecil itu yang kekal bebas daripada Covid-19 sehingga kini.

"Saya tinggal bersama keluarga angkat tempatan dan saya bertemu beberapa orang hebat yang pada dasarnya menjaga saya, jadi tidak ada sebab untuk pulang.

"Saya melihat dunia dari perspektif yang sama sekali berbeza dan ini satu peluang yang unik untuk saya.

"Ia mengajar saya perjalanan ialah bagaimana kita merasainya dan mempelajari sesuatu yang baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 6:30 AM