PLACKOVA gemar menayangkan gaya hidup mewahnya.
PLACKOVA gemar menayangkan gaya hidup mewahnya.
Agensi

Bratislava: Kehidupan mewah seorang pempengaruh (influencer) di Instagram akhirnya terbongkar apabila dia antara 15 yang ditahan dalam serbuan dadah dan senjata di sebuah pangsapuri di Bratislava, Slovakia.

Polis menemui dadah jenis methamphetamine, senjata dan puluhan ribu wang tunai dalam serbuan di pangsapuri itu.

Pempengaruh itu, Zuzana Plackova, 30, bersama suaminya, bagaimanapun menafikan terbabit dalam sindiket dadah itu.

Daily Star melaporkan pempengaruh itu yang mempunyai 787,000 pengikut, menggunakan media sosial untuk memaparkan gaya hidup mewahnya dengan percutian dengan menaiki jet peribadi di samping pakaian dan beg tangan berjenama.

Polis mendedahkan secara keseluruhan jumlah rampasan lebih sembilan kilogram disyaki methamphetamine, senjata, peluru, rokok dan wang tunai dianggarkan 70,000 euro (RM338,606).

Polis menamakan pasangan itu sebagai sebahagian daripada ahli sindiket yang mereka percaya terbabit dalam import dan mengedar kokain dan methampetamine.

Polis turut mendedahkan nama ahli sindiket yang lain sebagai Tibor Guban, Peter Soka, Miroslav Farkas dan David Lukac serta percaya semua suspek memperoleh wang dari kegiatan haram di wilayah Trnava, Bratislava dan Trencin sejak 2012.

Menurut polis, Guban bertanggungjawab mengimport dadah, manakala yang lain bertindak sebagai peniaga dengan menjual bahan terlarang itu kepada pengguna dan peniaga lain.

Penangkapan suspek adalah hasil penyiasatan terperinci di mana mereka didakwa melakukan kesalahan itu menerusi penyamaran panggilan telefon yang dilakukan polis.

Plackova menjadi selebriti di Slovakia sejak kemunculannya dalam rancangan realiti televisyen Slovakia iaitu Hotel Paradise pada 2012.

Ketika ditanya mengenai kewangannya dalam wawancara terakhir sebelum ditahan, dia menjawab: "kebenarannya adalah saya banyak menabung."

Dia juga mendakwa kekayaannya berasal dari syarikat produk kecantikan bernama Queen Collagen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 7:00 AM