Gambar hiasan. FOTO AFP.
Gambar hiasan. FOTO AFP.
Agensi

London: Kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas di Britain berkuasa menolak keputusan ibu bapa mereka sama ada untuk menerima vaksin Covid-19 atau tidak, apabila ia ditawarkan kelak.

Menteri Vaksinasi Nadhim Zahawi pada Isnin, mengesahkan bahawa kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun negara itu akan mula menerima dos pertama Pfizer, minggu depan.

Katanya, pemberian vaksin kepada golongan itu digerakkan dengan 'desakan sama seperti program vaksinasi lain' yang bertujuan membendung jangkitan Covid-19 sebelum musim sejuk.

Zahawi menegaskan tidak wajar mana-mana pihak menerima 'stigma' daripada program vaksinasi, manakala untuk memvaksin kanak-kanak perlulah mendapat persetujuan ibu bapa.

Namun, Daily Mirror melaporkan, kanak-kanak boleh menolak keputusan ibu bapa yang melarang mereka daripada menerima suntikan jika dianggap layak menurut 'Gillick Competent'.

Ketua Pegawai Perubatan England Chris Whitty turut mengesahkan kerajaan mengikut cadangan pemberian vaksin terhadap golongan kanak-kanak 'atas alasan kesihatan awam'.

Beliau dan pakar kesihatan lain sependapat bahawa manfaat vaksin Covid-19 adalah melebihi risiko, yang akan membantu dalam menurunkan risiko jangkitan, sekali gus mengurangkan gangguan terhadap pendidikan di sekolah.

Whitty berkata, kanak-kanak usia itu yang matang untuk membuat keputusan bagi pihak diri mereka berkemungkinan melakukannya (memilih vaksin).

Hak asasi kanak-kanak bagi memilih rawatan kesihatan buat diri sendiri telah termaktub dalam undang-undang sejak 1980-an, dengan pandangan 'Gillick Competent' yang mana kanak-kanak yang diyakini mempunyai kecerdasan, kecekapan dan pemahaman cukup akan menghargai sepenuhnya perawatan ke atas mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 1:19 PM