LEGO jadi sasaran pencuri di New Zealand. FOTO AFP.
LEGO jadi sasaran pencuri di New Zealand. FOTO AFP.
Agensi

Wellington: Membunyikan alat penggera kebakaran untuk mengalih perhatian orang ramai, sebelum melarikan set mainan Lego yang bernilai tinggi.

Modus operandi itu digunakan dua pencuri Lego yang aktif melakukan jenayah dari satu pusat beli-belah ke kompleks yang lain di sekitar Auckland, sejak beberapa bulan lalu.

Polis pada 11 April lalu mengumumkan kejayaan menahan wanita berusia 45 tahun dan lelaki 34 tahun dipercayai terbabit kes berkenaan.

Sarjan Karen Tabb berkata, kedua-duanya didakwa mencuri Lego bernilai AS$12,000 (RM57,528) daripada pelbagai kedai di seluruh Auckland, menggunakan kaedah dianggap berani dalam mewujudkan 'lencongan'.

"Dalam setiap kejadian, pencuri itu akan membunyikan penggera kebakaran untuk mengalih perhatian," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, polis menyerbu sebuah kediaman di Auckland Selatan yang membawa kepada penahanan pasangan itu sebelum mendapatkan semula beberapa Lego yang dicuri.

Kedua-dua suspek berdepan 30 pertuduhan mencuri dalam kedai, selain tuduhan di bawah Akta Kebakaran dan Kecemasan New Zealand.

Kit Lego boleh dijual sehingga NZ$1,499 (RM4,225.13) di negara itu dengan model Star Wars Millennium Falcon yang terdiri daripada 7,451 keping adalah antara yang termahal.

Tahun lalu, Lego mengukuhkan kedudukannya sebagai pembuat mainan terbesar di dunia pada 2023 dan memecah rekod AS$9.6 bilion (RM46.03 bilion) bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 1:54 PM